TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

24 Jun 2013

MUAR, LEDANG DARURAT - PM

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 23 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan keadaan Darurat Bencana Jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang mulai hari ini hingga ke suatu masa pengisytiharan itu ditarik balik.
Perdana Menteri berkata, pengisytiharan tersebut dibuat ekoran tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua daerah berkenaan melebihi bacaan 500 iaitu berada pada tahap kecemasan.
Walau bagaimanapun beliau menjelaskan, pengisytiharan berkenaan tidak melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung serta tiada perubahan dalam corak dan sistem pemerintahan kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan ketika ini.
''Semua kementerian dan agensi yang terlibat di dalam pengurusan bencana jerebu di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah hendaklah mengatur dan mengambil langkah-langkah perlu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan tersebut adalah rentetan daripada masalah jerebu yang melanda negara kini terutama di selatan tanah air.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, satu garis panduan tentang tindakan untuk menghadapi Darurat Bencana Jerebu itu telah disediakan.
''Semua pihak hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan berpandukan garis panduan tersebut,'' katanya.
Sementara itu di SHAH ALAM, kawasan Pelabuhan Klang mencatatkan IPU tertinggi di Selangor dengan bacaan 192 setakat pukul 11 pagi ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Siti Zaleha Ibrahim berkata, kawasan Petaling Jaya pula mencatat bacaan IPU 125, diikuti Banting (115), Shah Alam (112) dan Kuala Selangor (104).
Di SEREMBAN, keadaan jerebu di tiga daerah di Negeri Sembilan hari ini berada di tahap tidak sihat apabila IPU direkodkan melebihi paras 100.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Charanpal Singh berkata, kualiti udara di Port Dickson, Seremban dan Nilai masing-masing bacaan IPU direkodkan pada pukul 12 tengah hari tadi antara 100 hingga 186.
Katanya, bacaan IPU di Seremban mencatatkan 104, Port Dickson (186) manakala Nilai (101).
Di KUCHING, kualiti udara di seluruh Sarawak berada pada tahap sederhana dengan Limbang, Bintulu dan Kuching mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu mencecah 90.
Pengawal Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Peter Sawal berkata, kejadian jerebu di negeri ini terkawal, malah tidak ada tompok panas dikesan di mana-mana lokasi.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 JUN 2013

Tiada ulasan: