TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

16 Jun 2013

JENGKAUT TERBABAS BERTEMBUNG AMBULANS

 
Ledang: Sebuah ambulans dalam perjalanan menghantar mangsa kemalangan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, remuk akibat bertembung sebuah jengkaut dekat Parit Turun, Bukit Gambir di sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan jam 7.30 malam itu, ambulans Klinik Kesihatan Grisek itu rosak teruk di bahagian kiri.

Pengawal keselamatan kilang berdekatan lokasi yang menyaksikan kejadian itu dan mahu dikenali sebagai Along, 20, berkata jengkaut dari arah Muar ke Bukit Gambir itu hilang kawalan sebelum memasuki lorong kanan dilalui ambulans berkenaan.

Pemandu ambulans cuba mengelak tetapi tidak sempat lalu dirempuh jengkaut berkenaan dan berlaku dentuman kuat.

Pemandu jengkaut itu dilaporkan pitam selepas kejadian dan dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan, katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Pemandu ambulans, Azlan Ab Rahman, 32, bersama seorang pembantu perubatan dalam perjalanan menghantar mangsa kemalangan di Parit Raja, Grisek ke HPSF.

Sebaik tiba di Parit Turun, katanya, jengkaut terbabit memasuki laluannya dan bertembung selepas tidak sempat mengelak.

Saya bersyukur kerana pembantu perubatan yang berada di belakang ambulans bersama pesakit terselamat, katanya.

Pesakit wanita itu bersama pemandu jengkaut yang cedera dihantar ke HPSF oleh ambulans lain yang dikejarkan dari Hospital Tangkak.

SUMBER: BH AHAD, 16 JUN 2013

Tiada ulasan: