TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

14 Jun 2013

RISDA MINTA PEKEBUN BERI KERJASAMA

Oleh Nor Hazwani Hamat


Johor Bahru: Kira-kira 400,000 pekebun kecil diminta memberi kerjasama kepada RISDA bagi menjayakan proses bancian yang akan dilaksanakan agensi itu mulai Isnin ini.

Timbalan Ketua Pengarah RISDA (Pengurusan dan Korporat), Ahmad Sufi Alias (gambar), berkata proses bancian yang berlangsung hingga September depan bertujuan mengemas kini maklumat berkenaan keluasan tanah pertanian yang diusahakan pekebun kecil.

RISDA akan memulakan bancian dengan menugaskan 4,000 kakitangan untuk melaksanakan proses ini.

Beri kerjasama


Oleh itu, RISDA berharap pekebun kecil memberi kerjasama yang baik untuk melaporkan maklumat berkaitan pemilikan tanah masing-masing, katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Kasihi Pesara peringkat RISDA negeri Johor di Pejabat RISDA, di sini.

Pada majlis itu, seramai 79 kakitangan diraikan bagi memberi penghargaan kepada kakitangan yang bakal bersara, termasuk kakitangan yang menerima anugerah 25 tahun perkhidmatan dan kakitangan cemerlang.

Pekebun aktif

Ahmad Sufi berkata, setakat ini, RISDA mencatatkan lebih 400,000 pekebun kecil yang bergiat aktif mengusahakan kawasan kebun seluas kirakira 900,000 hektar di seluruh negara.

Mengikut statistik 2002, jumlah keluasan ladang untuk setiap pekebun kecil ialah 2.5 hektar dan kami percaya saiz itu semakin mengecil dengan anggaran 1.8 hingga 1.9 hektar seorang berikutan beberapa faktor, termasuk pemecahan dan segelintir tanah ditukarkan kepada kawasan industri.

Oleh itu, RISDA sedaya usaha meningkatkan produktiviti bagi mengimbangi pengurangan saiz ladang dengan melaksanakan pelbagai program seperti gerakan membaja dan merangsang pokok, selain memberikan bimbingan dengan ilmu pengetahuan serta teknologi daripada agensi penyelidik seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Malah, kita mensasarkan jumlah pengeluaran hasil pekebun kecil menjelang 2015 mencapai 1,750 kilogram untuk setiap hektar dan peningkatan kepada 2,000 kilogram menjelang 2020, katanya.

Sementara itu, Pengarah RISDA Johor, Omar Paimin, berkata Johor akan menumpukan projek penanaman semula getah di beberapa kawasan strategik di negeri ini seperti Segamat, Ledang, Muar dan Kluang.

SUMBER: BH, 14 JUN 2013

Tiada ulasan: