Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri
(kanan) menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan sambil disaksikan
Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, Mohd Yusof Ibrahim (dua
kanan) pada Program Sumbangan Pakaian Sekolah oleh TNB, Membara Kembali Ke
Sekolah Parlimen Ledang dan Anugerah Kecemerlangan UPSR Straight A di Dewan
Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak. -INFOLEDANG
Sebahagian penerima sumbangan kelengkapan persekolahan dan anugerah
kecemerlangan UPSR bergambar ramai selepas Program Sumbangan Pakaian Sekolah
oleh TNB, Membara Kembali Ke Sekolah Parlimen Ledang dan Anugerah Kecemerlangan
UPSR Straight A di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.-INFOLEDANG
Tangkak: Seramai
200 murid sekolah rendah dalam Parlimen Ledang menerima sumbangan pakaian dan
peralatan sekolah menjelang sesi persekolahan 2016 yang akan bermula Ahad ini.
Mereka menerima set
kelengkapan persekolahan yang mengandungi sepersalinan pakaian seragam sekolah,
sepasang kasut dan stokin serta sebuah beg sekolah.
Sumbangan itu
sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad
(TNB) kepada golongan kurang berkemampuan bagi meringankan beban kewangan yang
ditanggung ibu bapa mereka dalam menyediakan kelengkapan persekolahan.
Pengurus Besar TNB
Johor, Mohd Yusof Ibrahim, berkata penyampaian sumbangan itu salah satu
inisiatif TNB membantu masyarakat dalam bidang pendidikan khususnya golongan
asnaf dan kurang berkemampuan berusia 7 hingga 12 tahun.
Katanya, ia selaras
dengan objektif TNB untuk membantu anak-anak dapat belajar dalam keadaan selesa
dan suasana yang kondusif selain dapat menyuntik semangat mereka belajar serta
fokus dalam pelajaran.
“TNB amat memahami
kekangan kewangan yang dihadapi golongan berkenaan dalam mempersiapkan
kelengkapan persekolahan anak-anak terutama kepada keluarga mempunyai anak yang
ramai.
“Program di
Parlimen Ledang ini merupakan yang ketiga diadakan di negeri ini. Sebelum ini
ia diadakan di Parlimen Tebrau dan Tanjung Piai. TNB turut melaksanakan program
ini di lapan buah negeri dengan sasaran 4,000 orang penerima,” katanya ketika
berucap pada Program Sumbangan Pakaian Sekolah oleh TNB, Membara Kembali Ke
Sekolah Parlimen Ledang dan Anugerah Kecemerlangan UPSR Straight A di Dewan
Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, semalam.
Program anjuran Biro
Pendidikan UMNO Bahagian Ledang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah
(PPD) Tangkak dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Ledang itu dirasmikan
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri.
Hadir sama,
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib; Pengarah JASA
Johor, Mohammad Abu Bakar; Penolong PPD Tangkak, Roslan Ahmad dan Pengerusi
Biro Pendidikan, Subri Sumirin.
Subri pula berkata,
selain 200 penerima sumbangan kelengkapan persekolahan daripada TNB, seramai
200 murid lagi menerima sebuah beg sekolah sumbangan UMNO Malaysia manakala 150
penerima Anugerah Kecemerlangan UPSR 2015 Straight A terdiri daripada 108
(Sekolah Kebangsaan), 40 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan 2 (Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil) menerima RM100 dan sijil.
Sementara itu,
Hamim yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang berharap penerima sumbangan dapat
memanfaatkan bantuan berkenaan dengan belajar bersungguh-sungguh serta memberi
tumpuan terhadap pelajaran kerana ia penting untuk kehidupan pada masa akan
datang.
Katanya, banyak
bantuan yang diberikan kepada pelajar sekolah yang akan memulakan sesi
persekolahan sama ada sumbangan daripada syarikat korporat, Baitulmal atau
badan bukan kerajaan (NGO) kepada pelajar dari golongan keluarga kurang
berkemampuan termasuk Bantuan Awal Persekolahan RM100 kepada mereka yang
disenarai dalam e-Kasih.
“Kami berharap
pelajar yang menerima sumbangan ini dapat belajar dengan lebih selesa dan
sentiasa mengekalkan prestasi yang baik dan cemerlang dalam pelajaran,” katanya
yang juga Ahli Parlimen Ledang.
Penerima sumbangan
TNB, Ammar Reza Rosli, 11, bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh
syarikat korporat itu kerana ia dapat meringankan beban ibunya dalam
menyediakan kelengkapan persekolahan.
Murid Tahun 6
Sekolah Kebangsaan Sengkang dekat Bukit Gambir itu teruja untuk memulakan sesi
persekolahan baru Ahad ini dan akan belajar bersungguh-sungguh untuk menghadapi
peperiksaan UPSR tahun ini. -INFOLEDANG