JOHOR BAHRU: Tahanan reman terhadap empat suspek berkaitan kes rampasan serbuk dan pil Ecstasy bernilai lebih RM500,000 di Ledang pada 16 dan 17 Julai lalu dijangka disambung hari ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Sumber berkata, siasatan terhadap kes berkenaan masih dijalankan dan polis sedang memburu rangkaian kumpulan yang dipercayai beroperasi sejak setahun lalu itu dan menghantar bekalan Ecstasy ke bandar raya ini dan Kuala Lumpur.
“Kita akan menyambung reman terhadap suspek untuk melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dibawa kepada timbalan pendakwa raya.
“Berdasarkan siasatan awal, wanita China itu tidak terbabit secara langsung dalam kegiatan memproses dan mengedar Ecstasy, tetapi teman wanita kepada salah seorang suspek dan dipercayai mengetahui aktiviti di rumah berkenaan,” katanya.
Semalam, akhbar melaporkan kegiatan kumpulan berkenaan turut menggunakan perisa buah-buahan seperti mangga, epal hijau dan limau kuning sebagai ramuan terbaru untuk membangkitkan aroma dan menjadikan pil khayal itu lebih enak ketika dinikmati pengunjung pusat hiburan terutama berteraskan irama muzik tekno.
Di samping bahan pewarna dan perisa buah-buahan untuk menentukan warna dan bau berkenaan, turut dicampur dalam ramuan itu bahan asas seperti beberapa jenis dadah lain termasuk syabu dan heroin serta racun tikus dan ubat nyamuk.
Racun tikus bahan asas untuk memberi kesan dahaga kepada pemakannya menyebabkan mereka sentiasa haus dan sudah tentu memberi keuntungan kepada pengusaha pusat hiburan yang hanya perlu menjual air mineral atau minuman pada harga ‘potong leher’, selain membuatkan kepala pengambil pil itu sentiasa bergoyang mengikut irama muzik.
Selain itu, pil itu memaparkan logo tersendiri yang dikaitkan sebagai lambang sesebuah sindiket selain ia berfungsi sebagai jenama serta mempunyai penggemar tersendiri yang kononnya serasi dengan logo tertentu.
Tidak ketinggalan, tepung seperti kanji digunakan bagi membolehkan ramuan itu melekat dan mudah dihasilkan berbentuk pil.
Penggunaan pelbagai bahan termasuk perisa itu dikesan selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menumpaskan sindiket memproses dan mengedar pil Ecstasy di sekitar Ledang pada 16 Julai lalu.
Pasukan itu menyerbu sebuah rumah di Jalan Somerville, Gerisik, Muar, jam 11 malam pada 16 Julai lalu dan menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dan seorang wanita berusia 23 tahun, selain merampas sejumlah peralatan, bahan memproses dan mencetak Ecstasy.
Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya merampas serbuk Ecstasy serbuk seberat 273 gram dan 34 biji pil Ecstasy dan ujian air kencing terhadap lelaki itu mendapati dia positif methamphetamine dan amphetamine, selain memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Susulannya, jam 3 pagi keesokannya, polis memeriksa sebuah kereta Proton Wira dan menahan seorang lelaki berusia 49 tahun di Jalan Pekan, Sungai Mati, Ledang dan pemeriksaan dalam kereta itu menjumpai 20 biji Ecstasy.
SUMBER: HARIAN METRO, 24 JULAI 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan