PENGUNJUNG SETIA

08 Julai 2009

FELDA ULU BELITONG DAPAT RM1j


Najib Tun Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor (empat dari kiri) memasukkan rempah ratus ke dalam belanga besar sebagai gimik perasmian Felda sebagai Gedung Makanan Negara sempena Sambutan Hari Peneroka 2009 di Felda Maokil , Labis, Johor, semalam.


SEGAMAT 7 Julai – Felda Ulu Belitong, Kluang memenangi Anugerah Kecemerlangan Kampung Felda (AKKF) 2009 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1 juta sempena sambutan Hari Peneroka di Felda Maokil, Labis di sini hari ini.

Anugerah tersebut adalah antara beberapa anugerah yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Hari Peneroka 2009 di sini hari ini.

Kira-kira 20,000 orang termasuk keluarga peneroka hadir pada majlis tersebut.

Sementara itu, Pengurus Felda Ulu Belitong, Mohd. Din Lazim ketika ditemui berkata, kejayaan itu dicapai hasil kerjasama kukuh antara pihak pengurusan dan para peneroka.

“Keharmonian dan perpaduan di- kalangan peneroka membolehkan kami melaksanakan apa juga aktiviti dan program yang disusun di tanah rancangan ini,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya setiap aktiviti dan program itu dilaksanakan mengikut blok manakala pihak pengurusan memberi bimbingan dan tunjuk ajar.

Beliau berkata, sebelum melaksanakan sesuatu program dan aktiviti pihaknya akan memberi penjelasan kepada para peneroka terlebih dahulu tentang tujuan dan matlamatnya.

“Mereka akan menyahut cadangan kami dengan baik dan seterusnya melaksanakannya bersungguh-sungguh kerana telah memahami tujuannya,” katanya.

Mengenai hadiah wang tunai RM1 juta yang dimenangi itu, Mohd. Din berkata, pihaknya akan mengagih-agihkan RM1,000 kepada semua 461 peneroka dan bakinya digunakan untuk membangunkan lagi Felda terbabit.

“Kami berharap imbuhan ini akan menjadi dorongan kepada para peneroka untuk meningkatkan keindahan dan keceriaan di rancangan mereka,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 8 JULAI 2009

Tiada ulasan: