NUSAJAYA 30 Jun - Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini diberitahu, terdapat 1,679 kekosongan jawatan guru agama di negeri ini, namun hanya 620 calon yang memohon.
Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, masih terdapat 1,059 kekosongan jawatan tersebut belum diisi oleh mereka yang layak.
Menurutnya, ekoran kekurangan guru berkenaan, kerajaan negeri terpaksa melantik pemohon yang tidak memenuhi syarat kelayakan untuk berkhidmat secara kontrak.
Tambahnya, mereka yang ingin memohon untuk menjadi guru agama perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan iaitu memiliki sekurang-kurangnya Sijil Perguruan atau Diploma Pendidikan dari mana-mana institusi perguruan.
"Pemohon juga haruslah rakyat Johor atau warganegara Malaysia yang telah menetap di negeri ini tidak kurang daripada tiga tahun berturut-turut, kepujian dalam Bahasa Malaysia dan lulus Darjah Khas atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)" katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Aziz Sapian (BN-Nusajaya) pada persidangan DUN di Kota Iskandar di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai memberitahu, menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), 20 klinik desa dinaik taraf kepada klinik desa 2G iaitu bangunan dua tingkat dengan klinik beroperasi di bawah manakala jururawat di tingkat atas.
Katanya, menerusi pakej rangsangan ekonomi pula, 93 klinik desa akan dibina iaitu 43 projek pada tahun ini manakala selebihnya pada tahun depan.
"Klinik desa yang dibina akan dikendalikan oleh jururawat masyarakat yang turut bertanggungjawab memberi rawatan kecemasan kepada orang ramai sebelum mendapat rawatan lanjut di hospital.
"Mereka juga akan melakukan perkhidmatan rawatan rumah ke rumah khususnya kepada pesakit golongan warga emas dan orang kurang upaya," katanya menjawab soalan Goh Tee Tee (BN-Tangkak).
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 1 JULAI 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan