PENGUNJUNG SETIA

04 Julai 2009

TUNKU MAHKOTA MULAKAN EKSPEDISI

Oleh Ahmad Nazri Mohamad
ahmadnazri@hmetro.com.my


PERIKSA...Tunku Ibrahim melihat pacuan empat roda
yang akan digunakan Tunku Ismail sempena KMJ.

JOHOR BAHRU: Bagaikan hikayat raja Melayu, hari ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail bersama anakanda dan pembesar negeri berangkat untuk mengembara ke pedalaman dan hutan belantara melalui 10 daerah di negeri ini.

Sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) Jelajah Pedalaman 2009 selama empat hari meliputi pengembaraan 1,030 kilometer (km) itu, Tunku Ibrahim diiringi Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim serta 150 pegawai kerajaan serta wakil media menaiki 40 kenderaan pacuan empat roda (4WD).

Pada hari pertama kembara, rombongan yang terdiri daripada kira-kira 150 peserta itu akan melalui perjalanan kira-kira 250km bermula di Bukit Timbalan di sini dan bermalam di perkampungan Orang Asli Tanah Abang, Mersing.

Acara berkonsepkan pengembaraan 4WD itu turut disertai Tunku Ismail akan melawat 11 kampung Orang Asli dan tiga kampung tradisi.

Terdahulu dalam temu bual bersama media di Istana Pasir Pelangi di sini Tunku Mahkota berkata, persiapan untuk KMJ Jelajah Pedalaman 2009 itu dilakukannya sejak enam bulan lalu termasuk mengubah suai kenderaan untuk jelajah itu.

Menurutnya, baginda sudah membentangkan program KMJ itu kepada ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Iskandar serta menyiapkan segala keperluan logistik.

“Tuanku sentiasa mengambil berat perjalanan saya bersama KMJ ini,” katanya.

KMJ antara lain membawa mesej mengenai pemuliharaan hidupan liar dan hidupan air di negeri ini dengan mendekati terutama masyarakat Orang Asli yang segelintir membantu pemburu dan peniaga haram hidupan liar supaya tidak terus dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab itu.

Tunku Mahkota juga akan mendengar permasalahan dan melihat pembangunan di kawasan pedalaman khususnya di kampung Orang Asli dengan pegawai jabatan dan agensi kerajaan yang mengikuti KMJ akan mencatatkan permasalahan disampaikan masyarakat terbabit.

“Sepanjang perjalanan KMJ ini, mungkin saya akan berhenti dan turun menemui penduduk di satu-satu tempat yang tidak termasuk dalam jadual. Oleh itu, jika masa ketibaan saya di satu-satu tempat itu ‘lari’ sedikit, saya harap penduduk bersabar.

“Saya tidak akan dapat melawat dan singgah di semua kampung di pedalaman dan kampung Orang Asli melalui KMJ ini. Insya-Allah, saya akan sampai nanti,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 4 JULAI 2009

Tiada ulasan: