Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
Pakej sempena musim durian dapat kerjasama Fama
Bagi sesetengah orang tentu janggal bunyinya untuk melancong ke dusun durian tetapi sebenarnya persekitaran dusun `raja buah' kini mampu menarik minat pelancong setiap kali musim durian gugur.
Suasana dusun durian yang redup dan sesekali terdengar bunyi durian gugur memberikan suasana berbeza kepada pelancong terutama bagi mereka yang tinggal di bandar dan pastinya suasana itu membangkitkan lagi selera untuk menikmati durian.
Agropelancongan menerusi program menikmati durian dan buah-buahan tempatan dalam suasana di dusun menjadi pilihan kepada warga bandar raya terutama dari Singapura yang sanggup memasuki negara ini semata-mata untuk menikmati keenakan durian.
Program itu dijalankan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan sehingga kini, ia sentiasa menerima sambutan menggalakkan daripada penggemar durian.
Dengan harga serendah RM25, pelancong boleh menikmati pelbagai jenis durian termasuk durian 'Kim Hong' yang hanya terdapat di Tangkak yang terkenal berikutan buahnya yang kecil tetapi mempunyai isi yang enak.
Pegawai Fama Daerah Muar dan Ledang, Abd Malek Ramli, berkata setakat ini lebih 20 bas pelancong dari Singapura menyertai program agropelancongan di dusun buah di sekitar Tangkak.
Katanya, program itu yang diadakan sejak 2007 mendapat sambutan menggalakkan dari pelancong yang mahukan kelainan dengan menikmati durian dalam suasana di dusun.
"Melalui program itu, pelancong dapat melihat sendiri pokok durian dan pelbagai lagi pokok buah-buahan tempatan lain. Jangan terkejut ada generasi baru yang tidak mengenali pokok durian dan program pelancongan itu sekali gus memberi pengalaman baru kepada mereka," katanya.
Katanya, program itu bagi tahun ini bermula awal Jun lalu ketika musim durian gugur, sekali gus dapat membantu pekebun memasarkan hasil.
Seorang pekebun durian, Lim See Kiang, berkata, selepas menikmati durian di dusun, pelancong biasanya tertarik untuk membeli durian bagi dibawa pulang dan pihaknya turut menyediakan bekas plastik bagi mengisi durian.
Katanya, antara durian yang menjadi pilihan pelancong ialah durian 'Kim Hong', durian kunyit dan durian udang merah, selain durian D13 serta 101.
"Pelancong memilih untuk mengikuti pakej makan durian di dusun kerana biasanya durian yang disediakan berkualiti tinggi, selain harga yang berpatutan," katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN, 15 JULAI 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan