Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
TANGKAK: Kampung Durian Condong, dekat sini, mencatatkan sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.
Persembahan selama 15 minit cerita dan adegan komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong berjaya menambat hati juri untuk mengiktiraf pasukan itu sebagai johan dan membawa pulang piala iringan serta wang tunai RM3,000.
Kampung Durian Condong yang diwakili oleh tiga peserta iaitu Rohaina Sulaiman, Shamsul Suziman Abdul Razak dan Radin Azman Hanafi mewakili Johor pada pertandingan itu mengalahkan 15 pasukan lain untuk muncul johan.
Kemenangan pasukan itu diraikan dalam Majlis Kesyukuran yang diadakan di balai raya kampung itu dengan peserta diarak dengan paluan kompang, bunga manggar diiringi motosikal dalam majlis yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Tahir Taat dan Penolong Pengarah Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Jabatan Penerangan Johor, Hashim Bedu.
Pada majlis itu juga Tahir turut menyerahkan piala iringan kepada Hashim sebagai simbolik kemenangan yang dicapai oleh Kampung Durian Condong.
Tahir dalam ucapannya pada majlis itu, mengucapkan tahniah kepada pelakon dan kakitangan yang terbabit dalam pementasan pengkisahan sejarah peristiwa Bukit Kepong itu dan menganggap kemenangan peserta dari Kampung Durian Condong itu sebagai bukti semangat `kita boleh'.
"Walaupun kita jauh di pedalaman tetapi penduduk kampung juga mempunyai potensi dan kebolehan menunjukkan bakat masing-masing. Jangan ingat kita dari Kampung Durian Condong, kita tidak boleh kerana sebenarnya kita mampu untuk mencapainya," katanya.
Katanya, pengkisahan mengenai peristiwa Bukit Kepong yang ditonjolkan oleh pasukan dari Johor itu juga dapat menyemai semangat cinta kepada negara dan memastikan negara sentiasa dalam keadaan aman dan damai.
Sementara itu, Ketua Kampung Durian Condong, Anuar Hamzah, yang mengetuai pasukannya ke pertandingan yang diadakan di Jitra, Kedah, baru-baru ini berkata, kerjasama pelbagai pihak terutama Muzium Polis Diraja Malaysia yang meminjamkan peralatan serta bantuan Jabatan Penerangan Ledang dan Johor membolehkan pasukan kampung itu mencatatkan kemenangan.
Katanya, pasukannya berlatih kira-kira sebulan dengan bimbingan guru Sekolah Kebangsaan Bukit Kepong yang juga adiknya sendiri, Maznah Hamzah, berjaya menghasilkan persembahan mantap sehingga mencatatkan kemenangan.
SUMBER: BERITA HARIAN, 21 JULAI 2009
1 ulasan:
salam.. buley x saya nak tengok video bukit kepong yg dipentaskan..
saya berminat ..
dan ingin tahu..
terima kasih..
Catat Ulasan