MERSING 5 Julai - Para penduduk di empat buah kampung teruja menyambut kehadiran rombongan Kembara Mahkota Johor Jelajah Pedalaman (KMJJP) 2009 yang diketuai oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar di sini, semalam.
KMJJP yang memulakan perjalanan selepas majlis pelepasan di Bukit Timbalan telah singgah di Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang, Kampung Orang Asli Pasir Salam, Johor Bahru, Kampung Orang Asli Sungai Selangi, Mawai, Kota Tinggi dan Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing.
Bagi penduduk kampung, kehadiran rombongan KMJJP yang turut disertai isteri dan anak-anaknya serta ketua pelbagai jabatan kerajaan itu memberi seribu makna kerana ketika itu mereka boleh menyuarakan apa sahaja masalah yang dihadapi.
Program KMJJP yang menjelajah 10 daerah itu antara lain objektifnya adalah untuk mendekatkan rakyat dengan pihak istana dan sekali gus mengenali pasti masalah penduduk.
Bagi dua warga emas dari Kampung Perigi Acheh, Esah Awang, 73 dan Tenoh Awang, 73, sempena kehadiran Tunku Mahkota, mereka turut mendapat peruntukan rumah baru di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang bernilai RM30,000.
Kata Esah, sebagai warga emas yang hanya bergantung pendapatan kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, sumbangan tersebut meringankan bebanannya.
"Memang gembira sebab mak cik dapat rumah baru dan berpeluang berbual dengan Tunku Mahkota bersama isteri. Sumbangan rumah tiga bilik ini mengurangkan beban mak cik yang selama ini menumpang di rumah anak," katanya yang tinggal bersama seorang anaknya yang kurang upaya.
Sementara itu, Tenoh, ibu kepada 10 orang anak itu turut melahirkan perasaan gembira kerana terpilih sebagai penerima untuk menetap di rumah baru.
Setiap kunjungan rombongan Tunku Mahkota, penduduk bukan sahaja mendapat peruntukan rumah baru atau rumah yang dibaik pulih, malah anak-anak di kampung berkenaan turut menerima sumbangan peralatan sekolah dan basikal.
Bagi Nur Ainia Liyana Mohd. Zaharirn, 7 dan Siti Nordilah Azilan, 7, antara 70 murid kampung Perigi Acheh yang menerima basikal menganggap pemberian tersebut penuh makna.
Kata Nur Ainia Liyana, dengan basikal baru dia dapat pergi ke Sekolah Kebangsaan Perigi Acheh dengan mudah.
"Saya sudah ada basikal tapi ia sudah lama. Bila ada basikal baru, saya lebih bersemangat untuk ke sekolah," katanya.
Selain melawat penduduk di kawasan pedalaman, pada hari pertama acara KMJJP Tunku Mahkota turut singgah di Hospital Daerah Mersing untuk menyumbang mesin hemodialisis.
Sempena kunjungan Tunku Mahkota, pihak Takaful Ikhlas dan Amanah Raya masing-masing turut menyumbang sebuah mesin hemodialisis bagi menampung keperluan di hospital berkenaan.
Sementara itu, sempena KMJJP, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tinggi, Rasman Ithnain turut menyumbang 500 naskhah akhbar Utusan Malaysia dan 500 naskhah Kosmo! kepada orang ramai di Kampung Sungai Selangi, Mawai, Kota Tinggi.
Ahli rombongan KMJJP yang disertai lebih 40 kenderaan pacuan 4 roda yang melalui perjalanan sejauh 250 kilometer itu telah bermalam di Tanah Abang sebelum meneruskan perjalanan ke Kampung Sungai Peroh, Kluang esoknya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 6 JULAI 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan