JOHOR BAHRU 23 Julai – Polis berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan pil ekstasi bernilai lebih RM500,000 dan menahan empat ahli kumpulan termasuk seorang wanita warga China dalam tiga serbuan berasingan di Muar, dekat sini Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 11 malam, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 23 tahun berjaya ditahan di sebuah rumah di Jalan Somerville, Gerisek, Muar.
“Beberapa peralatan, bahan memproses dan mencetak pil ekstasi termasuk dadah dalam bentuk serbuk disyaki ekstasi seberat 273 gram dan 34 biji pil turut dirampas.
“Hasil saringan awal polis juga mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine serta memiliki rekod jenayah lampau,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.
Mohd. Mokhtar berkata, susulan daripada penahanan itu, pihaknya berjaya memberkas seorang lagi lelaki tempatan berusia 49 tahun yang memandu Proton Wira di Jalan Pekan, Sungai Mati, Ledang pukul 3 pagi keesokannya bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, seorang wanita warga China berusia 31 tahun turut ditahan dua jam selepas itu di sebuah rumah di Taman Sri Saujana, Muar kerana dipercayai terlibat dengan sindiket pemprosesan dadah berkenaan.
Antara yang dirampas dalam serbuan itu, katanya, termasuklah hampir 2,000 biji pil disyaki ekstasi serta 6681 gram serbuk dipercayai ekstasi yang membabitkan jumlah hampir RM500,000.
“Polis masih menyiasat kemungkinan sekiranya ada suspek-suspek yang ditahan merupakan dalang sindiket terbabit serta menyiasat sama ada dadah terbabit diseludup dari negara jiran mahupun sebaliknya.
“Hasil siasatan awal, polis percaya sindiket ini telah bergiat aktif di negeri ini sejak setahun lalu,” katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 JULAI 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan