PENGUNJUNG SETIA

28 Julai 2009

BAKTI DISEMAI BUDI DITUAI

Ditulis oleh Noor Hanizah Binti Ariffin (Evolution Xtreme/Jelajah Johor)

Subur....Amir menunjukkan kebun sayurnya dipenuhi dengan tanaman kacang panjang. Gambar Mohd Thaha Mohd Isa
LEDANG:
Tidak seperti rakan sebaya yang lebih teruja
bekerja di bandar, Mohd Amir Wagiman, memilih bukan
sahaja menetap di kampung malah menjadi petani pula mengusahakan tanah milik bapanya di Kampung Sagil Parit 2, dekat sini.

Anak muda berusia 24 tahun itu bersama lapan lagi
rakannya dari pelbagai peringkat usia, berkongsi tenaga
mencurah keringat di atas tanah seluas 12 hektar dengan
tanaman kacang panjang, lada cili, terung, bendi
dan pisang.

Ketika amat payah untuk menemui belia sanggup
bekerja di kampung tempat lahir, Mohd Amir dan
rakan-rakannya membuktikan bahawa mereka mampu
berbakti kepada tanah sehingga dapat menuai hasilnya,
sekali gus diiktiraf sebagai Kelompok Tani Jaya Daerah
Muar dan Ledang.

Menurut beliau, kos awal untuk memulakan pertanian
itu agak tinggi, namun dengan bantuan keluarga ia dapat
ditangani dan kini hasil pendapatan bulanannya mencecah
gaji seorang jurutera baru bekerja di sektor awam.

Rakan sekolompoknya, Rosli Dari, 37, menjelaskan bahawa
mereka juga mendapat bantuan dari Jabatan Pertanian
yang turut memantau dari segi kuantiti dan kualiti
hasil tanaman, agar bukan sahaja memenuhi permintaan
pasaran malah piawaiannya.

"Kualiti tanaman ini kadangkala mengikut keadaan cuaca.
Jika cuaca elok dan air mencukupi, hasil tanaman turut
berkualiti," katanya ketika ditemui di kawasan pertanian
itu baru-baru ini.

Mereka memasarkan hasil pertanian itu terutamanya
sayur-sayuran melalui pemborong-pemborong untuk
dibawa ke pasar borong di Selayang dan beberapa lagi
kawasan di Kuala Lumpur.

Walaupun Jabatan Pertanian memberikan bantuan
tetapi kos membeli racun serangga perlu ditanggung
sendiri dan ia telah meningkatkan kos operasi mereka.

Kos yang agak tinggi itu kadangkala menyebabkan
pulangan tidak mencapai tahap yang dijangkakan
berikutan pihak pemborong membeli pada paras harga
rendah. Adalah difahamkan pemborong meletakkan
harga hampir separuh dari harga pasaran.

SUMBER: PORTAL KHABAR ORANG JOHOR, MEDKOM.MY 28 JULAI 2009

Tiada ulasan: