PENGUNJUNG SETIA

24 Oktober 2010

BEKAS PENARIK BECA SELAMAT


Ismail Ibrahim dibawa ke hospital, semalam.


LEDANG 23 Okt. – Seorang bekas penarik beca yang kini lumpuh nyaris maut selepas terperangkap dalam rumahnya yang terbakar di Taman Kenangan Tun Syed Nasir, Tanjung Agas di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, nyawa Ismail Ibrahim yang berusia lingkungan 60-an masih panjang apabila dia diselamatkan oleh jirannya yang belum tidur dan menyedari kebakaran itu.

Isteri bekas penarik beca itu, Zaiton Mohamad, berusia lingkungan 40-an dan menghidap penyakit mental, hanya duduk mencangkung di luar rumahnya ketika api marak.

Menurut jiran mangsa, Abdul Rahman Abu Bakar, 17, dia dan tiga orang abangnya terkejut mendengar suara seorang lelaki meminta tolong semasa sedang menonton cakera video digital (DVD) di rumah mereka.

“Sebaik sahaja menjenguk di luar rumah, saya terkejut kerana nampak api menjulang membakar rumah jiran saya.

“Tiga abang saya membantu menjaga isteri Pak Mail, manakala saya masuk ke dalam ruang tamu yang tengah terbakar itu dan menarik Pak Mail keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Kedua-dua pasangan itu kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar dengan Ismail menerima rawatan sebagai pesakit luar sementara isterinya turut menerima rawatan psikiatri.

Difahamkan, kedua-dua suami isteri itu tidak mempunyai anak dan mereka hidup dengan bantuan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas Ismail tidak dapat mengayuh beca apabila lumpuh kira-kira lima tahun lalu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.08 pagi dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudiannya.

“Anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak dalam tempoh enam minit dan pihak kami masih menyiasat punca sebenar kebakaran,” katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 24 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: