PENGUNJUNG SETIA

11 Oktober 2010

PENDUDUK BIMBANG

SEROM 2 – Keadaan jalan tar yang mendap teruk berhampiran dengan laluan utama penduduk kampung di sini menimbulkan kebimbangan terutama kepada pengguna laluan yang dikhuatiri menjejaskan keselamatan mereka mendapat perhatian Infra Desa Johor (IDJ), baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi MCA Cawangan Taman Serom Utama, Chia Hin Chai berkata, kerja meratakan jalan akan dilakukan pihak mereka bagi menangani masalah ini dengan segera sebelum bertambah teruk.

“Isu tanah mendap telah beberapa kali disuarakan oleh MCA kepada Ahli Parlimen Ledang dan Ahle Dewan Undangan (ADUN) Serom sebelum diambil alih oleh Infra Desa Johor bagi menjalankan tindakan selanjutnya terhadap jalan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kerja meratakan jalan ini akan dilakukan terlebih dahulu oleh kontraktor Infra Desa bagi mengurangkan kesan tanah mendap pada bahagian sebelah kiri jalan yang dipercayai berpunca daripada parit berdekatan.

“Kejadian jalan mendap di sini selalu berlaku terutama apabila hujan turut dengan lebat di mana tebing parit turun akibat dibawa oleh aliran air hujan yang banyak lalu menyebabkan sebahagian jalan berdekatan parit turut turun atau menjadi mendap.

“Sebagai wakil MCA di sini, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan sebarang masalah berkaitan jalan mendap ini tidak timbul terutama pada pengguna laluan utama ini,” katanya juga merangkap Pembantu Hal Ehwal Pengguna Kawasan Parlimen Ledang.

Penolong Pengurus Operasi Infra Desa Negeri Johor, Zulhilmi Kamarludin berkata, pihaknya akan menjalankan kerja membaik pulih jalan mendap secara kecemasan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Infra Desa akan memonitor kerosakan ini sehinggan mendapat kepastian mengenai punca kepada masalah yang dialami dan seterusnya akan mengatasi punca tersebut sehingga tidak timbul lagi masalah jalan mendap di sini.

“Bagi kos untuk membaik pulih jalan adalah bergantung kepada keluasan dan lebar jalan yang terjejas dan dianggarkan hampir RM20,000 hingga RM30,000 (kasaran) diperlukan bagi menambak jalan yang mendap sahaja,” katanya.

Zulhilmi berkata, projek ini akan dilaksanakan kontraktor yang dilantik Infra Desa dalam tempoh sebulan dan sekiranya punca kejadian dapat diketahui dengan kadar segera mungkin ianya akan siap lebih awal daripada tempoh yang diperuntukkan.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 11 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: