PENGUNJUNG SETIA

25 Oktober 2010

LEDANG CATAT SEJARAH

MUAR – Pasukan Ledang FC melakar sejarah apabila berjaya mengalahkan pasukan Muar dalam Liga Johor di Padang B, Stadium Muar di sini, kelmarin.

Dalam persaingan sengit itu menyaksikan pasukan Muar menerima asakan bertubi-tubi daripada pasukan Ledang sehingga pasukan terbabit dapat membelasah pasukan Muar dengan jaringan gol 2-1.

Kemenangan itu memberikan laluan lebih mudah kepada pasukan Ledang untuk mara ke liga yang seterusnya bagi merebut gelaran juara dalam Liga Piala Tunku Mahkota Johor.

Pasukan Ledang mempamerkan aksi permainan yang sangat cemerlang apabila berjaya memecahkan kubu pertahanan Muar menerusi jaringan pertama oleh Mohd Hairul Mahad pada minit ke-10.

Bagaimanapun, pasukan Ledang mula goyah apabila pasukan Muar berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-40.

Pada kedudukan yang sama itu menjadikan pasukan Ledang lebih agresif dan mengatur perlawanan yang lebih strategik sehingga berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan lawan .

Seterusnya berjaya menambah jaringan kedua pada minit ke-85 menerusi sepakan Md Nizam Abu Bakar sekali gus mengukuhkan penguasaan permainan pasukan Ledang dalam liga kali ini.

Meskipun pasukan Ledang menerima tiga kad kuning, namun sedikit pun tidak memberi kesan kepada pemain untuk memberi persembahan corak permainan menarik dalam perlawanan yang berlangsung kira-kira 90 minit itu.

Penolong Pengurus Bola Sepak Ledang, Rais Said berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan permainan yang ditunjukkan pemain pada perlawanan kali ini.

Menurutnya, kemenangan itu menjadi pengubat kekecewaan setelah dua kali tewas dalam liga pada minggu sebelum ini.

“Sebagai daerah baru yang pertama kali memasuki liga itu, kami sangat memerlukan kemenangan kali ini bagi membolehkan pasukan ini layak beraksi dalam liga akan datang.

“Kemenangan ini hasil daripada latihan yang konsisten dan komitmen pemain ketika latihan juga perlawanan yang berlangsung,” katanya kepada Sinar Harian.

Rais berkata, pasukan Ledang akan terus menggandakan usaha sebagai persediaan untuk berentap dengan pasukan Johor Bahru di Larkin pada hujung minggu ini.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 25 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: