PENGUNJUNG SETIA

18 Oktober 2010

LEDANG REBAH DI TEMPAT SENDIRI

LEDANG – Pasukan Bola Sepak Ledang akhirnya rebah di tempat sendiri apabila kalah 2-0 menentang pasukan Kota Tinggi pada perlawanan pusingan ketiganya bagi merebut gelaran Juara dalam Liga Piala Tunku Mahkota Johor di Padang Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) di sini, petang semalam.

Perlawanan selama 90 minit ini diwarnai tiga kad kuning dari pemain pasukan Kota Tinggi manakala dua kad kuning dan satu kad merah kepada pemain pasukan Ledang.

Asakan bertubi-tubi Kota Tinggi terhadap pertahanan Ledang pada separuh masa kedua berjaya memecahkan kubu pertahanan Ledang dengan jaringan gol sekali gus memberikan kemenangan ketiganya berturut-turut dalam perlawanan pusingan lalu.

Menurut Penolong Pengurus Bola Sepak Ledang, Rais Said berkata, pemain bermain dengan baik walaupun bermain dengan 10 pemain namun nasib tidak menyebelahi pasukannya kerana banyak peluang tidak dapat dimanfaatkan dan mengambil kesempatan menjaringkan gol.

“Sedikit sedih kerana kalah di tempat sendiri dan disebabkan kesilapan pasukan sendiri yang mempunyai kelemahan di beberapa posisi permainan seperti pada benteng pertahanan dan kita akan cuba memperbaiki kelemahan permainan akan datang.

“Kekalahan ini adalah pengajaran kepada pasukan untuk memantapkan lagi permainan dan kepenatan pada pemain dalam bermain pada cuaca panas juga menyumbang kepada kekalahan petang ini namun pasukan Kota Tinggi berjaya mengengkang asakan pada keadaan cuaca panas,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Penolong Pengurus Bola Sepak Kota Tinggi, Nor Azman Alimi berkata, kemenangan berturut-turut dalam tiga perlawanan adalah hasil kerjasama pemain yang berusaha keras mencari gol kemenangan ketika bermain dalam perlawanan petang itu.

“Barisan pemain yang rata-rata muda penyumbang kepada kemenangan dan pasukan kami jarang membuat latihan serta lebih mementingkan jaring gol adalah matlamat utama pasukan kami dalam setiap perlawanan yang diadakan.

“Namun, perlawanan persahabatan banyak membantu pemain memperkukuhkan dan memantapkan lagi corak permainan dan pada masa sama stamina pemain dapat ditingkatkan kerana permainan bola sepak adalah permainan kental dari segi fizikal dan mental,” katanya.

Menurut Penyerang Kota Tinggi, Ahmad Afzanizam Othman berkata, ini adalah jaringan gol pertama beliau sejak bermulanya Liga Piala Tunku Mahkota Johor pada 2 Oktober lalu dan amat gembira kerana dapat memberi kemenangan kepada pasukannya.

Seorang lagi penjaring gol, Suani Hambis berkata, hantaran lintang rakannya tidak dipersiakan apabila melihat peluang di mana kawasan gol terbuka luas bagi menyumbat gol kedua pasukan bagi menjarakkan perbezaan pasukan lawan.

Kapten Bola Sepak Kota Tinggi, Lokmal Hakim berkata, beliau berbangga dengan kerjasama pemain pasukannya di mana kemenangan ini diraikan secara berpasukan dan sebagai ketua nasihatnya kepada pasukan agar tidak mudah tinggi diri dengan kemenangan yang digapai sekarang.

“Kelemahan pihak lawan dapat digunakan sebaiknya pasukannya untuk mencuri peluang bagi memberikan serangan yang bertubi-tubi dan psikologi lawan yang terganggu membantu kami untuk mencapai matlamat kali ini," katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 18 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: