PENGUNJUNG SETIA

14 Oktober 2010

MB RAI 189 BAKAL HAJI LEDANG


ABDUL Ghani Othman (kiri) beramah mesra dengan bakal jemaah haji pada majlis meraikan bakal jemaah haji Parlimen Ledang di Tangkak, baru-baru ini.

LEDANG 13 Okt. - Sokongan serta galakan kepada mereka yang bakal menunaikan ibadah haji sentiasa dicurahkan dan ia dapat disaksikan menerusi penganjuran majlis meraikan bakal haji di Dewan Jubli Intan Tangkak di sini kelmarin.

Majlis anjuran UMNO Bahagian Ledang itu diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang tidak ketinggalan meraikan 189 bakal haji dari kawasan itu.

Secara keseluruhannya, seramai 81 bakal haji serta 108 bakal hajah menyertai majlis tersebut dengan sumbangan yang disampaikan adalah berbentuk kain ihram, telekung serta beg sandang untuk melontar.

Menurut Abdul Ghani, ibadah haji sememangnya menerbitkan rasa keinsafan di kalangan umat Islam dan dapat memperkukuhkan lagi keimanan.

"Saya mendoakan supaya tuan-tuan dan puan-puan dapat berada dalam keadaan sihat untuk berangkat pergi dan pulang serta diberkati dengan haji mabrur," katanya ketika berucap pada majlis itu, di sini baru-baru ini.

Katanya lagi, dia berharap bakal haji dan hajah yang akan berada di tanah suci Mekah itu akan juga berdoa semoga keamanan di negeri Johor akan sentiasa terpelihara.

Dalam pada itu, UMNO Bahagian Pagoh turut mengadakan majlis yang sama dengan meraikan seramai 77 bakal haji dan bakal hajah di Dewan Seri Pekembar Pagoh di sini hari ini.

Majlis yang turut bermatlamat mengeratkan hubungan anggota masyarakat di Parlimen Pagoh itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Tahir Taat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang.

Pada majlis itu juga, ceramah mengenai ibadah haji telah disampaikan oleh Pengetua Sekolah Agama Lughathul Al-Quran Kesang Tasek, Khidir Ismail.

Seramai 37 bakal haji dan 40 bakal hajah pada majlis itu tidak pulang kosong dengan mereka turut membawa pulang sumbangan berbentuk kain ihram, kain pelekat, telekung serta kain batik.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: