LEDANG 21 Okt. - Kematian secara misteri beratus-ratus burung layang-layang serta berpuluh-puluh ayam di Kampung Parit Medan, Kundang Hulu di sini disahkan tidak menjejaskan kesihatan manusia, kata Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah, Pauzan Kasni.
Beliau berkata, punca sebenar yang mengakibatkan kematian haiwan unggas itu masih lagi dalam siasatan pegawainya yang memeriksa di lokasi kampung itu semalam bagi mengambil sampel bangkai haiwan tersebut.
"Berdasarkan kajian awal, kami dapat sahkan yang penyakit ini hanya membabitkan unggas dan tidak berkait dengan kesihatan manusia.
"Pegawai jabatan telah membawa pulang sampel ke Johor Bahru dan kami mengambil masa lebih seminggu untuk menunggu hasil laporan makmal dalam mengenal pasti punca kejadian ini," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan fenomena lebih 200 burung layang-layang serta berpuluh-puluh ayam dikesan mati secara misteri di Kampung Parit Medan, Kundang Hulu sejak Isnin minggu lalu.
Fenomena tersebut pada mulanya disangka biasa penduduk kampung tersebut namun dengan jumlah kematian unggas itu terus bertambah, sedikit sebanyak ia menimbulkan kebimbangan.
Menurutnya, pihaknya menjalankan pelbagai langkah termasuk membedah siasat bangkai burung serta ayam dan menjalankan proses pengkulturan sampel untuk mengkaji sama ada kematian itu membabitkan virus kepada unggas berkenaan.
"Ujian ini mengambil masa dan kami perlu melakukannya dengan teliti bagi mengenal pasti sama ia berpunca penyakit sampar atau penyakit lain," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 OKTOBER 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan