LEDANG 24 Okt. - Kebajikan orang kurang upaya (OKU) di Serom di sini terus terpelihara apabila Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di kawasan berkenaan dilengkapi dengan bilik snoezelen untuk terapi khas pelatihnya.
Dengan kelengkapan serba moden bernilai kira-kira RM120,000 itu, PDK Serom mencipta sejarah sebagai PDK pertama di negeri ini yang memiliki bilik snoezelen.
Menerusi peralatan pemulihan yang terdapat di bilik berkenaan, kanak-kanak istimewa yang menjalani latihan di PDK dapat menikmati program terapi yang lebih efisien dan selesa.
Majlis perasmian bilik snoezelen PDK Serom itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Turut hadir isterinya, Datin Paduka Prof. Dr. Jamilah Ariffin yang juga Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor (Juita).
Abdul Ghani berkata, penggunaan bilik snoezelen itu bukan sahaja dapat dimanfaatkan golongan OKU di Serom, malah oleh pelatih PDK lain.
"Saya berharap kewujudan bilik snoezelen dan kemudahan van di PDK Serom itu akan digunakan sepenuhnya untuk pelatih PDK berkenaan dan memberi kemudahan untuk mereka," katanya di sini, baru-baru ini.
Bilik snoezelen dilengkapi beberapa perkakas khusus untuk kanak-kanak istimewa daripada pelbagai kategori seperti Sindrom Down, Autisme dan Dyslexia.
Ia membolehkan mereka menjalani dua jenis terapi dalam satu masa iaitu terapi mental dan fizikal melalui rawatan Multi Sensory Therapy yang memberi penekanan kepada sistem motor halus dan motor keras dalam anggota badan golongan istimewa terbabit.
Pelatih akan menggunakan peralatan secara berkala dan berjadual bagi membolehkan proses pemulihan dijalankan secara berperingkat.
Antara peralatan tersebut ialah bola, lampu serta objek khas yang boleh digunakan bagi merangsang mental dan fizikal secara berkesan dan dijamin selamat.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Abdul Ghani turut menyaksikan penyerahan sebuah van bernilai kira-kira RM80,000 sumbangan Infra Desa Johor kepada PDK Serom bagi kemudahan pengangkutan 60 pelatih PDK itu di samping kemudahan pemandu, bayaran gaji dan kos penyelenggaraan yang ditanggung sepenuhnya oleh Infra Desa.
Beliau berkata, matlamat kerajaan negeri mewujudkan PDK di seluruh Johor adalah bagi memastikan program pemulihan OKU dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 OKTOBER 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan