TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

05 Februari 2014

80 PENUNTUT UKM SERTAI OPKIM

utusanjohor@utusan.com.my
HAMIM Samuri (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pelajar UKM yang menyertai Operasi Khidmat Masyarakat 10 Penjuru Darul Takzim 2014 di SK Serom 3, dekat Sungai Mati, Ledang, Johor, baru-baru ini.

LEDANG 4 Feb. - Seramai 80 penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menimba pengalaman baharu apabila menjadi anak angkat beberapa keluarga di sekitar Serom, dekat sini baru-baru ini bagi mengenali tradisi dan budaya masyarakat negeri ini.

Program Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) 10 Penjuru Darul Takzim 2014 itu anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Johor (Permaj) dan dilancarkan di lapan kawasan di negeri ini secara serentak.

Majlis penyerahan anak angkat itu dilakukan di Sekolah Kebangsaan Serom 3 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat.

Daerah ini dipilih untuk pelancaran program selama lima hari itu melibatkan keluarga angkat di Kampung Serom 1, 2, 3, dan 4 dan istimewanya turut disertai seorang peserta antarabangsa.

Penuntut kursus Pengajian Bahasa Asing, Universiti Tokyo, Jepun, Atsonori Fujii, 22, tertarik dengan keunikan masyarakat berbilang kaum di negara ini dan menjadi anak angkat dalam program itu merupakan peluang untuknya mengenali lebih dekat masyarakat Melayu.

Dia yang sedang mengikuti kursus jangka pendek selama enam bulan bagi mempelajari Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) di UKM menyifatkan masyarakat desa masih berpegang teguh kepada nilai-nilai kemelayuan yang kaya dengan adab dan budaya sopan santun.

"Saya akui pada awalnya berasa kekok dengan gaya hidup masyarakat di kampung terutama menikmati hidangan menggunakan tangan selain terpaksa bertanya berulang kali kerana tidak memahami perbualan mereka.

"Bagaimanapun hasil bantuan rakan-rakan, semua halangan itu dapat diatasi dan memang diakui, hati berat untuk meninggalkan keluarga angkat selepas lima hari di rumah mereka," katanya yang boleh bertutur dan memahami bahasa Melayu.

Antara pengalaman menarik dilaluinya adalah berpeluang mengacau dodol yang dimasak penduduk dan jika berpeluang dia ingin kembali lagi ke kampung berkenaan dengan membawa bersama keluarganya.

"Saya kagum kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya berbeza dapat hidup dengan aman harmoni serta saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.

"Ini membuatkan Malaysia istimewa berbanding negara lain di Asia," katanya sambil memberitahu pensyarah UKM memanggilnya dengan nama Harith bagi mendekatkan lagi dirinya dengan masyarakat di negara ini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 05 FEBRUARI 2014

Tiada ulasan: