TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

03 Februari 2014

GERAI RAKYAT TEMPATKAN SEMULA 45 GERAI

Abd. Razak Minhat

LEDANG 2 Feb. - Kerajaan merancang membina gerai rakyat menggantikan kesemua 45 gerai di sepanjang Jalan Tangkak-Muar untuk dijadikan satu produk pelancongan baharu selepas bandar Tangkak dikenali sebagai bandar tekstil.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat berkata, gerai yang terlibat ialah dari Parit Bunga sehingga ke Pekan Rawang yang menjual makanan laut, buah-buahan tempatan, air jambu, pisang goreng dan barangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
 
"Gerai-gerai tersebut akan disusun semula dan ditempatkan di satu kawasan yang sudah dikenal pasti di antara Parit Bunga dan Rawang.
 
 
Kawasan perniagaan tersebut akan dilengkapkan dengan tempat meletak kereta dan kemudahan lain.
 
 
"Langkah ini juga bagi memastikan lalu lintas tidak terganggu. Gerai-gerai itu perlu dikumpul di satu kawasan khas bagi menyeragamkannya kerana ketika ini kedudukannya berterabur," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat DUN Serom, di Pekan Serom 3, di sini hari ini.
 
Beliau berkata, ketika ini kebanyakan mereka berniaga di hadapan rumah masing-masing dan terdapat gerai kelihatan uzur serta situasi itu memberi imej kurang baik kepada pihak luar yang pertama kali berkunjung ke daerah ini.
 
Katanya, kedudukan laluan tersebut amat strategik untuk dibangunkan dengan gerai rakyat kerana menghubungkan dua plaza tol di daerah ini iaitu di Tangkak dan Bukit Gambir selain tidak jauh dari kawasan rekreasi Gunung Ledang.
 
Menurut Abd. Razak, projek penempatan semula gerai-gerai berkenaan akan menjadi satu tarikan baharu terutama 17 gerai makanan laut yang menjual kupang, lokan, siput serta udang galah yang sememangnya terkenal di laluan itu sebelum ini.
 
Dalam pada itu, mulai tahun ini katanya, kesemua peniaga berkenaan diarahkan menganjakkan gerai masing-masing pada jarak kira-kira tiga meter dari bahu jalan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan terjamin.
 
Abd. Razak berkata, peraturan Majlis Daerah Tangkak (MDT) itu bertujuan memastikan keselamatan peniaga serta pelanggan bagi memastikan tidak mengganggu lalu lintas, notis sudah diberikan dan jika ingkar tindakan tegas akan dikenakan.
 
"Sebelum ini terdapat gerai yang diletakkan berhampiran dengan bahu jalan dan ini menimbulkan rasa kurang selesa dan tidak selamat kepada pengguna jalan raya. Ada pelanggan yang tidak mahu turun dan membeli dari dalam kereta.
 
"Begitu juga rungutan mengatakan terdapat gerai yang tidak mengamalkan kebersihan. Dengan peraturan baharu dikuatkuasakan ini mereka diwajibkan berniaga di belakang parit besar di sepanjang jalan itu," ujarnya.
 
Beliau juga meminta peniaga terutama makanan laut supaya mengutamakan aspek kebersihan dengan menempatkan kupang dalam bekas khas bagi mengelak dihinggapi lalat, selain membuang sisa kupang di tempat yang betul.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 FEBRUARI 2014

Tiada ulasan: