TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

28 Februari 2014

KOSPEN DIDIK GAYA HIDUP SIHAT

 
Ledang: Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) anjuran Kementerian Kesihatan menjadi pendekatan terbaik menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri, berkata masyarakat dapat mengetahui tahap kesihatan mereka menerusi sukarelawan KOSPEN dari kalangan penduduk kampung yang dilatih menjalankan pemeriksaan saringan.

Katanya, langkah awal menjaga kesihatan dan amalan gaya hidup sihat penting kerana Malaysia adalah antara negara yang mempunyai peratusan populasi dewasa tertinggi menghidap obesiti, diabetes dan hipertensi di rantau Asia.

"Sukarelawan KOSPEN yang dilatih Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan saringan kesihatan penduduk kampung bagi mengenal pasti tahap awal kesihatan mereka sebelum dirujuk ke hospital jika berisiko tinggi.

Tingkat kesedaran

"Program KOSPEN baik dalam usaha meningkatkan kesedaran membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat," katanya berucap pada Program Sukarelawan KOSPEN Kampung Parit Haji Idris, dekat sini.

Kampung Parit Haji Idris terpilih daripada tujuh KOSPEN di daerah ini dan acara berbasikal, berjalan 10,000 langkah dan saringan kesihatan yang dikendalikan sukarelawan terlatih turut diadakan sempena program itu.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, usaha kerajaan mengurangkan subsidi gula wajar bagi membantu rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan gula dalam pemakanan harian.

Katanya, kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun bagi merawat pesakit kencing manis yang dihidapi rakyat negara ini akibat pemakanan berasaskan gula yang diambil secara berlebihan.
 
SUMBER: BH, 28 FEBRUARI 2014

Tiada ulasan: