PENGUNJUNG SETIA

28 Februari 2014

KENAL PASTI TAHAP KESIHATAN MELALUI KOSPEN

HAMIM Samuri meninjau sukarelawan Kospen membuat saringan kesihatan di pekarangan Masjid Kampung Parit Haji Idris dekat Bukit Gambir, Ledang, Johor, baru-baru ini.
 
LEDANG 27 Feb. - Masyarakat di sini terutama di kawasan luar bandar perlu memanfaatkan program Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) anjuran Kementerian Kesihatan yang bertujuan menangani penyakit tidak berjangkit (NCD).

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, mereka tidak perlu ke klinik atau hospital sebaliknya bertemu sukarelawan Kospen terdiri daripada penduduk kampung yang dilatih untuk menjalankan pemeriksaan saringan kesihatan.

Hamim berkata, langkah awal menjaga kesihatan dan amalan gaya hidup sihat penting kerana Malaysia merupakan negara yang mempunyai peratusan populasi dewasa tertinggi menghidapi obesiti, diabetes dan hipertensi di rantau Asia.

"Sukarelawan Kospen yang dilatih oleh Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan saringan kesihatan penduduk kampung bagi mengenal pasti tahap awal kesihatan mereka sebelum dirujuk ke hospital sekiranya berisiko tinggi.

"Program Kospen amat baik dalam usaha meningkatkan kesedaran untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat," katanya berucap merasmikan Program Sukarelawan Kospen Kampung Parit Haji Idris di pekarangan masjid kampung itu, kelmarin.

Kampung Parit Haji Idris terpilih satu daripada tujuh program Kospen di sini. Sempena program itu diadakan program berbasikal, berjalan kaki 10,000 langkah dan saringan kesihatan untuk penduduk kampung yang dilakukan sukarelawan dilatih. 

Kospen merupakan satu transformasi perkhidmatan kesihatan awam dalam usaha agresif memberi pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang pencegahan penyakit tidak berjangkit kepada amalan harian mudah yang memberi kesan positif ke atas tahap kesihatan.

Hamim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, usaha kerajaan untuk memastikan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat sudah dimulakan dengan langkah pengurangan subsidi gula baru-baru ini.

Katanya, kerajaan terpaksa membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun bagi merawat pesakit kencing manis yang dihidapi rakyat negara ini akibat pemakanan berasaskan gula yang diambil secara berlebihan.

"Kerajaan terpaksa menarik subsidi gula bagi menunjukkan kita prihatin terhadap kesihatan rakyat di mana produktiviti di sektor pekerjaan akan menurun sekiranya pekerja tidak sihat.

"Apabila pekerja mengalami gangguan kesihatan, mereka kurang bekerja menyebabkan produktiviti syarikat menurun selain menjejaskan ekonomi negara di mana pelabur takut untuk membuat pelaburan di sini," katanya.

Hamim berkata, kejayaan mengurangkan penyakit tidak berjangkit bukan sahaja memberi manfaat kepada individu itu sendiri tetapi turut mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang diperuntukkan merawat pesakit itu dalam jangka masa panjang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 FEBRUARI 2014

Tiada ulasan: