PENGUNJUNG SETIA

08 Februari 2014

TIADA KAD PENGENALAN DIRI SEJAK DILAHIRKAN

Wartawan Sinar Harian

        Tiada kad pengenalan diri sejak dilahirkan
Els Syafawi bersama anak sulungnya menunjukkan sijil kelahiran anak keduanya yang tidak mempunyai maklumat dirinya sebagai bapa.                                                      
                     
LEDANG – Seorang bapa runsing memikirkan masa depan dua anaknya kerana dirinya tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan diri sejak dilahirkan.

Els Syafawi Abdullah, 34, berkata, kerana ketiadaan dokumen itu, dua anaknya tidak boleh didaftarkan atas namanya sebagai bapa kandung.

Katanya yang berasal dari Bukit Kangkar, anak sulung, Khairah Najwa, 5, bersama Khayyum Alha, 1, kini berbin dan berbintikan Abdullah.

Els Syafawi berkata, dia diserahkan seorang lelaki kepada keluarga Orang Asli di Teluk Intan, Perak selepas dilahirkan bersama sijil kelahiran.

“Saya dipelihara bapa angkat (Orang Asli) selama lima tahun. Selepas dia meninggal, saya hilang arah dan merayau di Kampar, Perak dan bertemu seorang lelaki yang bekerja tukang sapu.

“Warga emas itu bawa saya pulang ke rumah dan tinggal bersama dengannya, malangnya meninggal dunia tiga tahun kemudian akibat sakit tua,” katanya, di sini.

Els Syafawi berkata, anak kepada warga emas terbabit mengambil alih menjaganya, namun setelah dua tahun bersama keluarga angkat baharunya itu, dia nekad merantau ke Kuala Lumpur kerana mahu berdikari pada usia 10 tahun.

Katanya, selepas 16 tahun berada di Kuala Lumpur dan Shah Alam dengan bekerja sebagai pembantu kedai makan, dia berhijrah ke Johor Bahru dengan melakukan pekerjaan sama.

“Saya berhijrah bekerja ke Seremban, Negeri Sembilan selepas dua tahun di Johor Bahru. Di sana, saya berkenalan dengan isteri, Hazlina Elias, 32, kemudian mendirikan rumah tangga pada 2008.

“Ketika berkahwin, saya menggunakan salinan pengenalan diri sementara yang dibuat ketika usia 17 tahun di sebuah pejabat pendaftaran di Shah Alam atas sebab mahu membeli motosikal,” katanya.

Beliau berkata, kesulitan berlaku semasa mahu mendaftarkan kelahiran anak kedua apabila dikesan dokumen itu tidak sah.

Manakala anak sulung pula dibintikan Abdullah kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

“Saya ke Pejabat Pendaftaran di Putrajaya dan perlu mencari saksi daripada kalangan ahli keluarga kandung bagi memudahkan proses membuat kad pengenalan baharu.

“Ia sukar kerana saya tak tahu latar belakang keluarga kandung,” katanya.
 
SUMBER: SINAR HARIAN, 08 FEBRUARI 2014

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Encik safawi hendaklah mendapatkan keterangan lanjut berkaitan status diri melalui saksi semasa penjagaan dari keluarga angkat encik safawi.keterangan dalam sijil lahir encik safawi amat penting dalam bukti pengenlan diri.sila hubungi saya di 01133124516