TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

14 Februari 2014

NILAI RAMPASAN RM70,000


MOHAMAD Salleh Abd. Razak (tengah) menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dirampas dalam Ops Limau di IPD Ledang dekat Tangkak, Ledang, Johor, semalam. - UTUSAN/Ishak Rahmad

LEDANG 12 Feb. - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang berjaya merampas 436 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM70,000 dalam Ops Limau, Januari lalu.


Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Mohamad Salleh Abd. Razak berkata, rampasan tersebut dilakukan secara berasingan pada 2 dan 20 Januari itu, dua lelaki ditahan untuk siasatan.


"Tangkapan pertama pada pukul 4.30 petang 2 Januari lalu, membabitkan seorang remaja berusia 19 tahun di sebuah rumah di Taman Kangkar Baru, Sungai Mati, dekat sini.


"Hasil pemeriksaan kita menemui 95 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disorokkan dalam rumah berkenaan. Bahan terlarang ini mahu dijual sempena Tahun Baharu Cina," katanya dalam sidang akhbar di IPD Ledang, di sini hari ini.


Mohamad Salleh berkata, rampasan kedua yang terbesar membabitkan 341 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM50,000 di sebuah kedai di Taman Tangkak Jaya.


Dalam serbuan pada pukul 4.15 petang 20 Januari itu, seorang lelaki tempatan berusia 28 yang dipercayai pemilik kedai berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.


Katanya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau selaib bebas pengaruh dadah dan dipercayai baru saja berjinak-jinak dalam aktiviti pengedaran bahan letupan terlarang itu.


"Dua suspek berkenaan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Kita percaya mercun dan bunga api ini dijual secara terus kepada pelanggan dan juga peniaga," katanya.


Antara jenis mercun dan bunga api yang dirampas itu ialah Happy Boom, Pop Pop, Match Crackers dan Cactus Rain dipercayai diseludup dari negara jiran.


Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bermain mercun yang dilarang sempena sambutan Chap Goh Meh pada 13 dan 14 Februari ini kerana boleh mengancam nyawa.


"Kita minta kerjasama semua pihak supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti bermain mercun atau melakukan pembakaran terbuka kerana ia dikhuatiri boleh menyebabkan kebakaran dan boleh memburukkan lagi keadaan," katanya.


Selaras dengan itu katanya, pihak polis akan mengetatkan lagi penguatkuasaan selain melakukan rondaan bagi memastikan masyarakat mematuhi arahan berkenaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 FEBRUARI 2014

Tiada ulasan: