TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

29 Januari 2014

MRQ76 TINGKAT PENGELUARAN BERAS WANGI

KERJA menuai padi MRQ 76 yang kali pertama dihasilkan di Kampung Kesang Tasek dekat Kesang, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 28 Jan. - Daerah ini menjadi perintis memperkenalkan penggunaan benih padi baharu MRQ 76 di 1,531 hektar sawah di negeri ini dalam usaha meningkatkan pengeluaran dan memenuhi permintaan terhadap beras wangi berkualiti tinggi.
 
Jenis tersebut yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjadikan kawasan kira-kira 2.4 hektar di Kesang Tasek, dekat sini sebagai projek perintis untuk melihat kesesuaian dan hasilnya.
 
Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, mengikut perancangan apabila jenis MRQ 76 berjaya ditanam dan mengeluarkan produktiviti tinggi di Kesang Tasek, benih baharu itu turut akan ditanam di daerah lain.
 
 
"Kesang Tasek menjadi model untuk seluruh negeri ini. Selepas ini kita akan gunakan varieti ini di semua kawasan sawah di Ledang iaitu di Kesang Tasek dengan keluasan 76 hektar, Kesang Gate (32.4), Pulau Penarek (50.7), Telok Rimba (151.52) dan Sawah Ring (270).
 
"Ledang menyumbang kira-kira 70 peratus hasil beras untuk negeri ini dan kita percaya selepas ini Mersing yang merupakan kawasan sawah padi kedua terbesar akan menggunakan benih baharu ini diikuti daerah lain," katanya ketika ditemui selepas majlis menuai padi baharu MRQ 76 di Kampung Kesang Tasek, hari ini.
 
Beliau berkata, varieti baharu itu mempunyai banyak keistimewaan, antaranya pokok tegak serta tegap dengan daun pengasuh yang panjang dan tegak, matang pada 117 hari selepas ditabur benihnya, selain tahan penyakit karah atau serangan kulat yang merosakkan tangkai dan daun serta tahan serangan bena perang iaitu serangan ulat, serangga, hawar daun bakteria, hawar seludang dan penyakit merah virus.
 
MRQ 76 turut menghasilkan beras seroi atau peroi yang lembut, melekit dan sedikit berketul serta mampu mencecah lima hingga enam tan metrik bagi satu hektar sawah dan boleh dijual RM1.60 sekilogram (kg) berbanding beras jenis lain seperti MR220CL1 dan MR220CL2 iaitu RM1.15 bagi satu kilogram.
 
"Benih jenis ini sesuai ditanam di kawasan yang bukan jelapang padi. Johor menjadi negeri keempat menggunakan benih ini selepas Terengganu, Kedah, Perak dan Melaka," katanya sambil memberitahu benih tersebut mampu meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan kos penanaman atau penyelenggaraan kerana tidak perlu menggunakan racun atau baja kimia bagi mengawal serangga atau penyakit.
 
Abdullah berkata, MRQ 76 hanya menggunakan baja organik dihasilkan daripada najis ayam atau lembu dan kaedah tersebut mesra alam serta lebih selamat.
 
"Penggunaan varieti baharu ini juga disasar bagi mengurangkan 30 peratus atau kira-kira RM500 juta yang dibelanjakan untuk import beras wangi dari Vietnam, Thailand dan Kemboja bagi menampung keperluan dalam negara," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 JANUARI 2014

Tiada ulasan: