TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

23 Januari 2014

SEBANYAK 40 PERATUS KAWASAN KEBAKARAN BERJAYA DIPADAMKAN

M.Asojan (tengah) diiringi anggota bomba meninjau kawasan ladang kelapa sawit, kebun pisang dan kebun jambu yang terbakar sejak Jumaat lalu di Sengkang Batu 20 dekat Bukit Gambir Ledang, Johor, semalam.
 

LEDANG 22 Jan. - Kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan 40 hektar ladang kelapa sawit, kebun pisang, kebun jambu dan belukar yang terbakar di Sengkang Batu 20, Bukit Gambir, dekat sini sejak Jumaat lalu berjaya dipadamkan.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, A. Hamid Awaludin berkata, usaha memadam kebakaran digiat dijalankan termasuk menggunakan beberapa pendekatan baharu bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.
 
"Kaedah pemadaman api yang kita gunakan ialah dengan cara semburan secara terus ke punca-punca utama selain menggunakan alat perenjis air (sprinkler) dan membuat takungan yang bukan sahaja menjadi sumber air tetapi akan meresap dalam tanah.
 
"Dengan cara takungan ini tanah akan menjadi lembab sekali gus membantu memadamkan sekam dan bara api di bawah tanah yang berpotensi terbakar semula," katanya.
 
Beliau ditemui selepas sesi taklimat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan yang melawat kawasan kebakaran tersebut, di sini hari ini.
 
A. Hamid berkata, selain tiga kaedah itu, parit berdekatan juga disekat untuk membina empangan bagi memastikan sumber air tidak berkurangan supaya tidak menjejaskan kerja-kerja memadam kebakaran.
 
Menurutnya, keadaan cuaca panas terik serta berangin menyebabkan api sukar dikawal dan lebih memburukkan keadaan beberapa lokasi kebakaran baharu turut dikesan.
 
Beliau memberitahu, kawasan berkenaan adalah satu-satunya lokasi titik panas di daerah iniserta pernah terbakar pada 2011 disebabkan cuaca panas dan pembakaran terbuka dilakukan penduduk kampung.
 
"Kebakaran ini menyebabkan asap tebal, mujur kawasan yang terbakar itu agak jauh dari kawasan kampung. Seramai 40 anggota dari Balai Bomba Tangkak, Zon Muar, Segamat Putra, Segamat di  Jalan Abdullah, Labis dan Balai Bomba Bukit Gambir terlibat memadamkan kebakaran," katanya.
 
Sementara itu, Asojan meminta penduduk supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana akan memburukkan lagi keadaan meskipun kebakaran tersebut masih terkawal dan jauh dari penempatan mereka.
 
"Ini penting kerana pembakaran secara terbuka berisiko untuk merebak ke kawasan berhampiran. Semua pihak perlu beri kerjasama," katanya.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 JANUARI 2014

Tiada ulasan: