TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

08 Januari 2014

SAINS BUKTI KEBENARAN, KEBESARAN ALLAH - SASMAN

Sasman Yasir (kiri) bersama dengan pemenang yang menyertai pameran dan mereka cipta sempena Karnival Sains KMJ 2013 di Ledang, Johor, baru-baru ini.
LEDANG 7 Jan. - Ilmu sains perlu dijadikan alat untuk menyingkap tanda dan kebesaran Allah melalui penyelidikan walaupun tidak semua perkara boleh dibuktikan melalui kajian saintifik.
 
Pengarah Kolej Matrikulasi Johor (KMJ), Sasman Yasir berkata, ini kerana penemuan sains dapat menemukan seseorang dengan hakikat kebenaran dan segala yang berlaku adalah ketentuan Allah termasuk fenomena pelik, ajaib dan aneh.
 
"Kita semua sedia maklum sains dan Islam saling berkait rapat. Sains berlunaskan prinsip tauhid, melihat kewujudan makhluk membuktikan wujudnya Khaliq atau Allah. Untuk itu, ilmu sains amat penting terutama bagi umat Islam.
 
"Sains dan teknologi ketika ini telah mengalami perkembangan yang begitu pesat bagi kehidupan manusia sekarang," katanya semasa menutup Karnival Sains KMJ 2013 di KMJ Sagil, di sini kelmarin.
 
Beliau berkata, kedua-dua bidang itu amat penting pada masa ini dan ilmuwan terus mengkaji serta meneliti ilmu berkenaan sebagai penemuan yang paling canggih, sekali gus menjadi simbol kemajuan abad ini.
 
"Sekiranya sesebuah negara atau bangsa tidak mengikuti perkembangan sains dan teknologi, mereka akan mengalami kerugian serta dikategorikan tidak maju dan terkebelakang," katanya.
 
Mengenai karnival tersebut, beliau berkata, penganjurannya bertujuan menambah nilai dan merangsang keilmuan pelajar KMJ terhadap kreativiti serta inovasi dalam bidang sains.
 
Katanya, secara tidak langsung, karnival itu akan memberi impak besar kepada pelajar dalam pemantapan dan pemahaman terhadap mata pelajaran sains secara keseluruhannya selain mengeratkan hubungan antara pelajar dan pensyarah.
 
"Ternyata masing-masing mempunyai bakat terpendam hasil bimbingan pensyarah sehingga dapat menghasilkan produk bermanfaat.
 
"Sudah tentu kemahiran dan pencapaian para pelajar dalam bidang sains akan membuka peluang cerah pada masa depan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 08 JANUARI 2014

Tiada ulasan: