TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

13 Januari 2014

BANTU PELAJAR KENALI PEMIMPIN

Oleh Zulhisham Isahak
utusanjohor@utusan.com.my

MOHD. Nor A Ghani (tengah baris hadapan) bersama guru-guru dalam Majlis Perasmian Dewan Tun Mamat, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat di Tangkak, Ledang, Johor, semalam.
 
 
LEDANG 12 Jan. - Arahan menggantung gambar pemimpin negara dan negeri di semua 1,117 sekolah rendah dan menengah di negeri ini tidak seharusnya dipolitikkan kerana tujuan berbuat demikian bagi membantu pelajar mengenal pemimpin.
 
Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, kaedah itu dapat menyemai rasa hormat terhadap pemimpin, seiring dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.
 
"Perkara ini sepatutnya tidak menjadi isu, malah kita menggalakkan gambar pemimpin dipasang di setiap bilik darjah supaya pelajar tahu dan mengenali pemimpin negara.
 
"Pada saya, apa yang menjadi isu apabila pihak sekolah tidak memasang gambar berkenaan dan sepatutnya gambar itu digantung kerana kita tidak mahu pelajar tidak mengenali pemimpin negara," katanya selepas merasmikan Dewan Tun Mamat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat di Tangkak di sini semalam.
 
Yang turut hadir, Pengetua SMK Tun Mamat, Mahmud Sarlan dan Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohamad Mohd. Said.
 
Mohd. Nor berkata, semua sekolah di negeri ini diwajibkan menggantung gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Johor, Perdana Menteri, Menteri Pendidikan dan Menteri Besar yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan.
 
"Di Johor terdapat tujuh gambar yang perlu diletakkan di setiap bilik darjah dan pada saya usaha ini atas inisiatif pihak sekolah berkenaan untuk melaksanakannya.
 
"Kalau perlu dibeli mungkin pihak sekolah boleh menggunakan wang sekolah yang dibenarkan untuk pembelian bahan tersebut terutamanya sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan. Ini merupakan arahan rasmi Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof," katanya.
 
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Nor menasihatkan semua pelajar yang berjaya dalam peperiksaan dan bakal melangkah ke menara gading supaya mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi untuk menghadapi cabaran sebagai sebuah negara maju.
 
Beliau berkata, persiapan itu penting kerana pengisian sebuah negara maju bukan sekadar sumber manusianya yang berasaskan ilmu pengetahuan, malah kemantapan pemikiran kerana keadaan dan keperluan semasa sentiasa berubah-ubah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 JANUARI 2014

Tiada ulasan: