TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

15 Januari 2014

BILA MAHU SIAP?

Oleh Shaiffulazhar Misri

Ledang: Seorang ibu tunggal dan lima anaknya terpaksa tinggal di rumah sumbangan Baitulmal yang tidak dilengkapi dengan bekalan elektrik serta air selain kolam tadahan najis tidak bertutup akibat kerja pembinaannya tertangguh.

Zarinah Ibrahim, 47, berkata, mereka menghuni rumah yang terletak di Lorong Kenangan, Parit Bunga di sini, sejak November lalu.

"Saya memohon bantuan rumah daripada Baitulmal dan diluluskan pada 25 Oktober 2012. Sebelum ini, kami menetap bersama ibu saya sejak 2010 selepas suami meninggal dunia akibat penyakit misteri.

"Selepas permohonan diluluskan, rumah dibina dan menurut kontraktor dilantik, ia akan siap sepenuhnya pada September tahun lalu," katanya, semalam.

Bagaimanapun, ia tidak seperti dijangka dan mereka enam beranak berpindah ke rumah berkenaan kira-kira sebulan kemudian.

Menurut Zarinah, dia berpindah ke rumah yang masih belum sempurna kerana anaknya yang berumur 10, 14, 17, 19 dan 21 tahun memerlukan ruang secukupnya untuk keselesaan serta mengulang kaji pelajaran.

"Selain itu, ibu turut menjaga anak saudara saya. Saya tidak mahu menyusahkannya. Saya turut mendapatkan bantuan elektrik dan air daripada jiran.

"Pada masa sama, anak kedua, Zaza Hazlina Zaini, lumpuh separuh badan sejak lapan bulan lalu akibat penyakit urat saraf," katanya.

Menurut Zarinah, Zaza Hazlina hanya mampu berbaring selain duduk dan dia perlu memandikan serta menyuap makanan untuk remaja berkenaan.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyalurkan bantuan bulanan persekolahan tiga anak sebanyak RM100 seorang.

"Saya mohon masalah rumah kami ini dapat diselesaikan, itu saja," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 15 JANUARI 2014

Tiada ulasan: