TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

07 Januari 2014

TUJUH KELUARGA MANGSA RIBUT TERIMA BANTUAN JKM

LEDANG 6 Jan. - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah memberikan bantuan bencana sebanyak RM12,260 kepada tujuh keluarga di daerah ini yang menjadi mangsa ribut pada 16 November lalu.
 
Sumbangan tersebut disampaikan dari satu rumah ke rumah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat kepada penerima di sekitar Tanjung Agas, Kesang dan Sungai Mati.
 
Abd. Razak berkata, bantuan berkenaan adalah untuk mengurangkan beban dan menampung kos baik pulih bahagian rumah mengikut keadaan serta kerosakan yang dialami.
 
"Ada rumah yang dihempap pokok, syiling pecah dan rosak termasuk bumbung yang diterbangkan angin dalam kejadian itu," katanya ditemui selepas menyampaikan bantuan di rumah mangsa ribut, Che Mah Ithnin, di Tanjung Agas di sini hari ini.
 
Che Mah, 63, yang tinggal bersama anaknya, Nor Aishah Shahari, 33, dan seorang cucunya berusia sembilan tahun merupakan penerima bantuan JKM yang paling tinggi iaitu RM4,000.
 
Menurut Abd. Razak, bantuan JKM berkenaan meskipun tidak menyamai jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa, diharap dapat membantu meringankan beban mereka.
 
Sementara itu, Nor Aishah ketika menceritakan kejadian pukul 7.15 malam itu berkata, mereka berdepan detik mencemaskan apabila rumahnya dipukul ribut hingga mengakibatkan 40 keping syiling pecah manakala bumbung diterbangkan angin kencang.
 
Akibat kejadian tersebut katanya, separuh rumahnya tidak mempunyai bumbung dan terdedah kepada panas dan hujan sekali gus mengakibatkan barang-barang dalam rumah terutama perabot mengalami kerosakan.
 
"Kami terpaksa menumpang di rumah saudara selama dua bulan kerana tidak mampu untuk menampung kos baik pulih kerosakan itu sebelum meminjam wang saudara sebanyak RM20,000 untuk membaiki syiling dan bumbung.
 
"Kami terpaksa meminjam kerana pendapatan ibu hanya bergantung kepada pencen arwah bapa yang sebelum ini berkhidmat dengan tentera laut," katanya.
 
Dia sekeluarga bersyukur kerana mereka semua terselamat dalam kejadian itu selain merakamkan terima kasih kepada JKM dan Pusat Khidmat ADUN Serom di atas bantuan tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 07 JANUARI 2014

Tiada ulasan: