TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

02 Januari 2014

INDEKS JENAYAH LEPASI KPI

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

HARUN Idris (kiri) bersalaman dengan anggota polis sempena persaraannya selepas Majlis Serah Tugas di IPD Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 1 Jan. - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang telah mencatatkan penurunan kadar jenayah sebanyak 17.6 peratus atau 78 kes, sekali gus melepasi penunjuk prestasi (KPI) lima peratus yang ditetapkan tahun lalu dengan cemerlang.
 
 
Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, jumlah itu juga melibatkan sebanyak 45.5 peratus kadar penyelesaian kes manakala pertuduhan pula sebanyak 39.8 peratus berbanding KPI yang ditetapkan iaitu 35 peratus.
 
 
"Kejayaan ini menjadikan IPD Ledang tertinggi di Kontinjen Johor yang mencatatkan keputusan cemerlang sepanjang 2013," katanya ketika berucap pada Majlis Serah Tugas kepada pemangkunya, Deputi Supritendan Mohamad Salleh Abd. Razak di IPD Ledang, di Tangkak, di sini hari ini.
 
 
Yang turut hadir adalah Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Johor, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ahmad yang mewakili Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.
 
 
Harun, 57, yang bersara wajib merupakan ketua polis pertama daerah ini sejak IPD Ledang diwujudkan pada 1 Februari 2009, setahun selepas Ledang dinaik taraf sebagai daerah baharu.
 
 
Menurut Harun lagi, Bahagian Narkotik IPD Ledang turut berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 1,336.86 gram selain menahan 85 pengedar dan 543 penagih sepanjang tahun berkenaan.
 
 
"Bahagian Jenayah Komersial melakukan dua tangkapan dengan merampas 1,155 keping cakera padat sepanjang tempoh berkenaan.
 
 
"Bagi bahagian trafik pula, sebanyak 16,700 saman dikeluarkan dengan jumlah kutipan kompaun RM559,710. Selain itu, kita turut menyita 81 kenderaan atas pelbagai kesalahan serta mengadakan operasi sebanyak 1,431," katanya.
 
 
Mengimbas semula tugasan polis sepanjang tahun lalu, beliau berkata, tanggungjawab pihak keselamatan menjadi lebih mencabar contohnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan kesabaran anggotanya tercabar.
 
 
Katanya, pihak polis terlibat dengan pelbagai tugasan kerana disebabkan beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan PRU-13 dan mereka melakukan banyak perkara tidak baik bertujuan menunjukkan rasa tidak puas hati.
 
 
"Keadaan ini menimbulkan provokasi kepada pasukan keselamatan khususnya polis. Selain itu kita juga terlibat dalam tugas-tugas pencegahan jenayah yang memerlukan komitmen padu daripada semua peringkat anggota," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 JANUARI 2014

Tiada ulasan: