PENGUNJUNG SETIA

13 Januari 2014

MDT SIASAT KEBAKARAN KILANG PRODUK KECANTIKAN

LEDANG 12 Jan. - Majlis Daerah Tangkak (MDT) akan menyiasat status kilang produk kecantikan di Kampung Sri Sengkang, Bukit Gambir dekat sini yang terbakar baru-baru ini sama ada mempunyai lesen atau beroperasi secara haram.

Yang Dipertuanya, Ab. Han Ramin berkata, pada peringkat permulaan pihaknya telah meminta pihak berkaitan terutamanya bomba dan penyelamat untuk menyiasat kejadian ini.


"Siasatan berkenaan untuk mengetahui sama ada kilang berkenaan mengeluarkan produk yang berbahaya kepada kesihatan penduduk setempat atau sebaliknya.


"Sehingga kini MDT tidak menerima aduan atau permohonan semula daripada pihak kilang untuk meneruskan operasi. 


''Jika mereka berbuat demikian, kita akan menyiasat dengan lebih lanjut sebelum mengambil tindakan sewajarnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Beliau mengulas rungutan kira-kira 1,000 penduduk di kampung tersebut yang bimbang kerana kilang tersebut yang terbakar pada 29 Disember lalu menghasilkan bau kurang menyenangkan dipercayai bahan kimia selepas beberapa hari insiden itu berlaku.


Mereka khuatir pencemaran bau tersebut merupakan hasil tindak balas bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan. Bau berkenaan boleh dihidu kerana jarak antara kilang dengan rumah penduduk hanya kira-kira 20 meter, tidak seperti peraturan yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) iaitu 100 meter antara rumah dan kilang.


Mengulas lanjut, Ab. Han meminta penduduk setempat yang terjejas supaya mengemukakan aduan lengkap bagi memudahkan MDT dan pihak terbabit mengenal pasti punca serta masalah berkenaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 JANUARI 2014

Tiada ulasan: