TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

27 Januari 2014

40 BEKAS PELAJAR SMBG TAHUN 1987 BERTEMU

Bekas pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir (SMBG), Ledang yang menyertai majlis Reunion X-SMBG 87/88 di Simpang 5 Pekan dekat Bukit Gambir.

Bekas pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir (SMBG), Ledang yang menyertai majlis Reunion X-SMBG 87/88 di Simpang 5 Pekan dekat Bukit Gambir. Foto: iNFOLEDANG
 
Ledang: Seramai 40 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir (SMBG), Ledang berjaya mengadakan Reunion X-SMBG 87/88 dalam usaha mengumpulkan rakan sepersekolahan yang telah lama terpisah.

 
Semua yang hadir adalah bekas pelajar yang belajar di sekolah itu pada 1987 hingga 1988 bertujuan mengeratkan hubungan persaudaraan antara mereka.

 
Penyelaras pertemuan, Zainuden Ahmad, 42, berkata idea menganjurkan pertemuan itu dicetuskan rakannya, Norshilawati Husin dan berusaha menjejak mereka melalui laman sosial dan telefon.

 
Katanya, pertemuan julung kali diadakan itu dapat menemukan rakan-rakan sepersekolahan yang antaranya telah terpisah lebih 20 tahun berikutan berpindah atau bertugas di luar Bukit Gambir.

 
“Pertemuan kali pertama ini sebagai permulaan untuk menemukan semula rakan sekolah di SMBG yang telah mempunyai kerjaya dan keluarga masing-masing.
 
“Bukan mudah untuk mengumpulkan mereka kerana masing-masing terikat dengan tugas dan komitmen keluarga. Pertemuan istimewa ini dapat mengimbau semula zaman persekolahan,” katanya yang menjadikan perkarangan rumahnya di Kampung Simpang 5 Pekan sebagai lokasi pertemuan itu.

 
Zainuden berkata, pertemuan itu diisi dengan aktiviti menarik seperti suai kenal, tahlil ringkas untuk ibu bapa, bekas guru serta rakan yang telah meninggal dunia, pelantikan jawatankuasa, sembang santai dan karaoke.

 
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini. Kehadiran rakan-rakan dapat mengeratkan persahabatan yang pernah terjalin suatu ketika dulu," katanya.

 
Rakannya, Lizah Tamyiz pula berkata, pertemuan kali pertama itu amat menyeronokkan apabila dapat bertemu dan bersembang dengan rakan-rakan sekolah yang terpisah lebih 20 tahun.

 
Katanya, reunion itu turut melantik Norshilawati sebagai pengerusi bagi merangka pertemuan yang lebih besar pada masa akan datang dan dihadiri lebih ramai rakan bekas pelajar SMBG.

 
“Kami akan menjadikan reunion ini sebagai acara tahunan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim bukan saja dengan rakan sekolah malah keluarga mereka.

 
“Pertemuan ini turut membuka peluang perniagaan dan kerjaya kerana dalam kalangan mereka terdiri daripada penjawat awam dan golongan korporat yang dapat membantu rakan lain atau anak-anak,” katanya yang tinggal di Johor Bahru.  -iNFOLEDANG
 


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SESIAPA bekas pelajar SMBG yang masih mengenali Cikgu Rajiee Hadi (kini Dr.Haji Rajiee Hadi) boleh lawati blognya 'drrajieehadi.blogspot.com' & tiubbocor.blogspot.com

2.Melalui ikhlan blog belilah buku 'Travelog Guru: Seribu Warna Seribu Makna' yang banyak coretan tentang SMBG masa saya berkhidmat dahulu. Sekian.