TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

06 Januari 2014

PEMILIK PUSAT TIMBANG KELAPA SAWIT DISAMUN RM80,000


SEORANG pekerja menunjukkan senjata tajam yang digunakan oleh penyamun di sebuah pusat timbang kelapa sawit di Serom 6 dekat Sungai Mati, Ledang, Johor, semalam. - Utusan/ISHAK RAHMAD


LEDANG 5 Jan. - Seorang pemilik sebuah pusat timbang kelapa sawit kerugian lebih RM80,000 apabila premis itu dipecah masuk oleh sekumpulan lelaki penyamun yang menyamar sebagai 'polis' di Serom 6, Sungai Mati, dekat sini awal pagi ini.
 
 
Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, kumpulan terbabit memecah masuk bahagian pejabat dan melarikan wang tunai RM72,000, seutas jam tangan berjenama, dua kamera litar tertutup (CCTV) dan 10 telefon bimbit milik pekerja asing di pusat timbang itu.
 
 
Pemiliknya, Lim Seng Liu berkata, wang tunai RM70,000 itu adalah bayaran bulanan untuk kira-kira 200 pekebun sawit yang menjual hasilnya di situ dan biasanya dibayar pada tarikh 5 hari bulan setiap bulan dan selebihnya gaji pekerjanya.
 
 
"Mereka mengambil masa kira-kira 20 minit menggeledah tiga tempat simpanan wang itu. Mereka menggunakan segala peralatan yang ada di pusat timbang ini seperti kuku kambing dan batang besi untuk memecahkan mangga serta mengumpil masuk.
 
 
"Biasanya saya membayar hasil jualan pekebun pada hari yang sama wang dikeluarkan. Namun disebabkan tarikh 5 hari bulan bagi bulan ini jatuh pada Ahad dan bank tidak beroperasi hari ini, wang diambil Jumaat lalu dan disimpan di pejabat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
 
 
Seng Liu berkata, kumpulan penjenayah berkenaan tidak masuk melalui pintu hadapan yang ditutup pukul 8 malam setiap hari, tetapi menggunakan pintu kedua di sebelah kanan dan agak menghairankan kerana tiga ekor anjingnya tidak menyalak semasa kejadian.
 
 
Beliau hanya mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 4.30 pagi selepas dimaklumkan oleh salah seorang daripada tujuh pekerjanya yang berasal dari Lombok, Indonesia sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati, sejam berikutnya.
 
 
Seorang pekerjanya yang hanya mahu dikenali sebagai Rudy, 33, berkata, semasa kejadian tiga daripada mereka tidur di rumah pekerja, tiga di kabin yang diubah suai menjadi tempat tidur serta seorang lagi di dalam lori.
 
 
Katanya, sebaik sahaja tersedar, lehernya telah diacukan parang oleh penjenayah yang mengaku sebagai 'polis'.
 
 
"Mereka mengejutkan kami seorang demi seorang sebelum dikumpulkan di dalam sebuah bilik serta tangan diikat menggunakan kain pelikat, tali dan wayar.
 
 
"Kesemua suspek bersenjatakan parang, sabit dan hanya seorang bertopeng, manakala semasa kejadian mereka menutup lampu dan hanya menggunakan lampu suluh.
 
 
"Kumpulan penjenayah itu menggeledah pejabat dan setelah selesai, seorang daripadanya menelefon rakan mereka serta meminta sebuah kenderaan datang membawa mereka pergi," katanya.
 
 
Rudy percaya, kumpulan suspek tersebut adalah warga tempatan berdasarkan loghat digunakan dan mereka bersyukur kerana tidak diapa-apakan.
 
 
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Supritendan Mohd. Salleh Abd. Razak ketika menghubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 JANUARI 2014

Tiada ulasan: