TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

21 Januari 2014

46 HEKTAR LADANG, HUTAN TERBAKAR

Oleh Zulhisham Isahak
 Pegawai operasi Bomba dan Penyelamat Zon Muar, Bakariah Mohd. Salleh (kanan) bersama A. Hamid Awaludin melihat kesan kebakaran di Bukit Gambir, Ledang, Johor, semalam.
 
LEDANG 20 Jan. - Lebih 46 hektar ladang kelapa sawit, kebun pisang dan jambu termasuk hutan milik persendirian hangus terbakar di Sengkang Batu 20, Bukit Gambir, dekat sini, sejak Jumaat lalu.

 
Kebakaran di kawasan tanah gambut berkenaan dipercayai akibat cuaca panas ketika ini serta pembakaran terbuka dilakukan penduduk kampung yang merebak ke kawasan ladang.

 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, A. Hamid Awaludin berkata, pihaknya menerima maklumat awal pada hari kejadian sebelum menghantar sepasukan anggotanya termasuk bantuan dari balai bomba berdekatan untuk memadam kebakaran.

 
Menurutnya, operasi tersebut membabitkan seramai 40 anggota dari Balai Bomba Zon Muar, Bukit Gambir, Tangkak dan Labis serta dua Balai Bomba Segamat di Jalan Abdullah dan Bandar Putra.

 
"Kerja-kerja memadam api dilakukan selama lapan jam setiap hari bermula 8 pagi sehingga 6 petang berikutan kawasan kebakaran di tanah gambut yang sukar dipadamkan.

 
"Setakat ini kira-kira 20 peratus kawasan kebakaran telah berjaya dipadamkan, namun kita sedang berusaha sedaya-upaya untuk memadamkan keseluruhannya dengan segera," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran hari ini.

 
Beliau berkata, keadaan cuaca yang panas dan berangin sedikit menyukarkan kerja-kerja pemadaman, namun bukan penghalang kepada pihaknya untuk mengawal api daripada merebak.

 
Tambahnya, bekalan air diperoleh dari parit di kawasan kebakaran dengan menggunakan pam bagi memadamkan api supaya tidak merebak ke kawasan berhampiran malah pihaknya juga sudah membina empangan untuk menaikkan paras air parit kerana paras air sedia ada semakin berkurangan.

 
"Kita menggunakan enam van, satu lori, tiga kenderaan utiliti sukan (SUV) dan enam pam untuk kemudahan logistik memandangkan jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan itu," katanya.

 
Dalam pada itu, A. Hamid menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana faktor cuaca semasa ketika ini boleh menyumbang kepada berlakunya pembakaran yang besar serta tidak terkawal.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 JANUARI 2014

Tiada ulasan: