PENGUNJUNG SETIA

07 Januari 2014

TAMAN REKREASI KESANG DIBANGUNKAN SEMULA

Saudara Pengarang,


MAKLUM balas Taman Rekreasi Taman Kesang berikutan artikel aduan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 25 Disember lalu.
 
Pada 9 Jun 2008, Daerah Ledang telah diisytiharkan dengan kawasan Kesang termasuk di dalam daerah Ledang.
 
Justeru, Majlis Daerah Tangkak (MDT) secara tidak langsung telah mengambil alih taman rekreasi tersebut daripada Majlis Perbandaran Muar.
 
Antara kemudahan yang terdapat di kawasan tersebut ialah 12 buah gerai, tandas, surau, tiga pondok rehat, gelanggang futsal, taman permainan, tempat meletak kenderaan dan replika beca.
 
Pembukaan Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) pada 2006 adalah antara masalah utama yang menyebabkan pengunjung semakin kurang menggunakan laluan asal ke medan selera tersebut iaitu Jalan Muar-Kesang-Melaka.
 
Justeru, ramai peniaga mengalami kerugian besar akibat tiada sambutan daripada pengunjung dan menyebabkan medan selera tersebut tidak beroperasi lagi.
 
Terdapat banyak kerosakan pada struktur bangunan dan kemudahan seperti pintu, tingkap, saluran paip dan saliran tersumbat akibat vandalisme.
 
Kawasan tersebut juga sentiasa dinaiki air terutama ketika musim banjir.
 
Pihak MDT bercadang untuk membaik pulih bangunan dan kawasan tersebut dan membuka peluang semula kepada peniaga yang berminat.
 
Kos membaik pulih tersebut menelan belanja kos sebanyak RM350,000, namun tiada peruntukan untuk tujuan berkenaan tetapi MDT akan cuba untuk memohon peruntukan daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menampung kos pembaikan itu.
 
Jabatan Kesihatan turut telah membuat siasatan hasil daripada aduan ini dan mendapati sampah-sarap seperti tilam, karpet, papan dan bumbung asbestos telah dibuang di kawasan tersebut oleh orang ramai.
 
Untuk makluman, MDT telah melantik kontraktor pembersihan, Nuris Enterprise untuk membersihkan kawasan bangunan gerai, surau, tandas dan kawasan lapang serta membersihkan parit dan memotong rumput.
 
 
Namun, terdapat orang yang tidak bertanggungjawab membuang sampah dapur di kawasan jalan hadapan dan pihak kontraktor telah mengutip dan membersihkannya setiap kali berlaku perkara tersebut.
 
Pihak MDT ada menyediakan dua unit tong sampah berkapasiti 240 liter untuk digunakan di kawasan gerai dan diuruskan oleh pihak kontraktor.
 
Bagaimanapun, pihak MDT telah berbincang dengan pihak kontraktor agar sama-sama membantu melupuskan longgokan sampah-sarap tersebut dan telah dilaksanakan pada hari itu.
 
Sehubungan itu, pihak kami memohon kerjasama daripada orang ramai dan penduduk setempat agar bersama-sama dalam menjaga kebersihan terutama di tempat awam.
 
MDT menerusi Jabatan Perancangan Bandar dan Landskap telah menerima dua permohonan daripada orang awam dan syarikat persendirian untuk membangunkan semula Taman Rekreasi Kesang dan antara cadangan itu adalah membuka pasar karat.
 
Kumpulan peniaga pasar karat di Tanjung Gading telah membuat permohonan untuk menjadikan Taman Rekreasi Kesang sebagai tapak perniagaan mereka yang baharu bagi menggantikan tapak lama yang terletak di hadapan rumah persendirian.
 
Berdasarkan cadangan pemohon, penempatan semula pasar karat yang menjual barang-barang antik bertujuan untuk menarik lebih ramai pengunjung, namun aktiviti pasar karat ini hanya dijalankan pada waktu hujung minggu sahaja.
 
Kedua, cadangan bersepadu Taman Rekreasi Kesang iaitu pemohon berhasrat untuk membangunkan semula kawasan rekreasi sebagai kawasan penginapan calet yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, zoo mini dan kemudahan lain.
 
Pembangunan akan memberi tumpuan kepada menaik taraf kawasan sedia ada dan melibatkan pembinaan calet dengan kos pembinaan ditanggung sendiri oleh pemohon.
 
Selain itu, pemohon berhasrat untuk menjadikan kawasan rekreasi ini sebagai hentian rehat dan rawat terutamanya bagi pengguna Lebuh Raya AMJ.
 
Pemasangan beberapa papan tanda besar dari jalan utama ke medan selera tersebut boleh menarik minat orang ramai ke kawasan berkenaan, selain menghiasi persekitaran dengan landskap lebih menarik.
 
Bagaimanapun, hingga kini pihak MDT masih lagi dalam proses pertimbangan memandangkan kawasan tersebut terdedah kepada banjir dan kos membaik pulih kawasan tersebut yang tinggi.

SULAIMAN ISMAIL
Setiausaha Majlis Daerah Tangkak

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 07 JANUARI 2014
 
 

Tiada ulasan: