TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

19 Januari 2014

WUJUD RANTAIAN BEKALAN BAHARU, HAPUSKAN MANIPULASI

LEDANG 18 Jan. - Kerajaan perlu mewujudkan rantaian bekalan baharu melibatkan agensi dan syarikat milik kerajaan (GLC) bagi menghapuskan pemborong yang memanipulasikan harga barang sehingga mengakibatkan kenaikan kos sara hidup baru-baru ini.
 
 
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, langkah itu merupakan antara penyelesaian terbaik untuk jangka masa panjang, sekali gus dapat menghapuskan monopoli pihak tidak bertanggungjawab.
 
 
"Bagi menangani masalah ini, mana-mana syarikat GLC seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Felda, Tabung Haji, Sime Darby dan beberapa syarikat di bawah Khazanah Nasional perlu bekerjasama mewujudkan rantaian bekalan baharu.
 
 
"Selepas itu kita boleh wujudkan satu mekanisme untuk memasar atau menghantar barang-barang keperluan asas sama ada dengan menyewa treler dan terus dihantar ke kedai-kedai runcit. Ini boleh dilakukan kerana kerajaan mempunyai kuasa dan kemampuan.
 
 
"Kita mahu beritahu pihak tidak bertanggungjawab ini 'permainan' mereka sudah tamat. Kerajaan akan buat apa sahaja untuk tangani isu ini dan tidak akan biarkan rakyat terus sengsara dengan permainan mereka," katanya selepas merasmikan Program Operasi Khidmat Masyarakat 10 Penjuru Darul Takzim 2014 di Sekolah Kebangsaan Serom 3 di sini hari ini.
 
 
Beliau mengulas perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pemborong yang dikatakan sebagai punca kenaikan harga barang secara mendadak di seluruh negara dalam kegiatan yang dipercayai didalangi pihak tertentu yang ingin membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
 
 
Mengulas lanjut Hamim berkata, langkah tersebut perlu dilakukan kerana perbuatan pemborong memanipulasi harga sudah melampau dan juga kerajaan perlu menarik balik lesen atau permit yang diberikan selain menyenaraihitamkan mereka.
 
 
Tegas beliau, mereka wajar ditukar dengan pemborong baharu jika dirasakan masih perlu khidmat pemborong kerana perbuatan yang dilakukan menyusahkan rakyat dan boleh merosakkan negara.
 
 
"Melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini, siasatan ke atas rantaian bekalan melibatkan pengimport, pemborong, pengedar dan pembekal dan peruncit perlu dilakukan.
 
 
"Mereka ini sudah lama bermaharajalela dan perlu 'diajar'. Siasatan juga perlu dilakukan siapa dalang di sebalik permainan ini," katanya dan menyifatkan perbuatan itu sebagai satu sabotaj bermotifkan politik untuk menjatuhkan kerajaan secara halus.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 JANUARI 2014

Tiada ulasan: