PENGUNJUNG SETIA

26 Januari 2014

TPM: TINGKAT PERKHIDMATAN LEBUH RAYA

Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
TANGKAK - Syarikat-syarikat konsesi lebuh raya di negara ini diminta memastikan prestasi perkhidmatan mereka sentiasa berada di tahap tinggi.
 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini bagi memastikan pengguna lebuh raya mendapat kepuasan daripada perkhidmatan yang diberikan mereka.
 
"Usaha-usaha PLUS misalnya menaik taraf kawasan-kawasan rehat dan rawat (R&R) di Pagoh dan Machap telah memberikan faedah bukan sahaja kepada pengguna-pengguna lebuh raya tetapi juga memaparkan imej yang baik kepada negara khususnya Johor yang kini pesat membangun dengan adanya Wilayah Pembangunan Iskandar serta pusat tarikan pelancong seperti Legoland, Johor Premium Outlets dan sebagainya," katanya.
 
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persimpangan Bertingkat Bukit Gambir, Lebuh Raya Utara Selatan di sini hari ini, beliau juga mahu agar rakyat mengambil peluang daripada kemudahan infrastruktur yang disediakan kerajaan.
 
"Misalnya, dengan adanya persimpangan bertingkat Bukit Gambir ini, masyarakat setempat boleh mempromosikan keunikan atau menganjurkan acara-acara yang menarik minat orang datang ke sini, apatah lagi kita sekarang berada dalam Tahun Melawat Malaysia 2014 di mana ramai pelancong dijangka akan melawat negara kita," katanya.
 
Mengenai projek itu, Muhyiddin berkata ia manifestasi kerajaan yang sentiasa mengutamakan kemudahan rakyat.
 
 
Ia juga membuktikan kejayaan hasil usaha sama dan sokongan padu yang dijayakan oleh sektor awam dan swasta dalam pembangunan infrastruktur negara.
 
"Saya yakin, kedudukan persimpangan bertingkat yang strategik ini sedikit sebanyak menyumbang kepada ekonomi setempat," katanya. 
 
 
Muhyiddin berkata persimpangan itu nanti bakal mengubah wajah sekitar Bukit Gambir yang kurang dikenali sebelum ini melalui projek-projek baharu seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
 
Ia juga dijangka merancakkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan perindustrian di daerah Muar dan Ledang.
 
Persimpangan bertingkat yang dibina dengan kos RM108 juta itu mengurangkan jarak perjalanan dari Lebuh Raya Utara Selatan ke pekan Bukit Gambir kepada lima kilometer berbanding 25km sebelum ini dengan masa perjalanan hanya 10 minit. - Bernama
 
SUMBER: SINAR HARIAN, 26 JANUARI 2014

Tiada ulasan: