TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

26 Januari 2014

PASTIKAN KHIDMAT TERBAIK

Oleh FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS
Ledang: Syarikat konsesi lebuh raya di negara ini diminta memastikan prestasi perkhidmatan mereka berada di tahap tinggi demi pelanggan.
 
 
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak sama ada agensi kerajaan mahu pun swasta yang terbabit dalam sektor perkhidmatan perlu meneruskan usaha menyediakan perkhidmatan melebihi jangkauan.

“Usaha PLUS (Malaysia Berhad) contohnya yang menaik taraf kawasan hentian Rehat dan Rawat (R&R) memberi faedah bukan kepada pengguna Lebuhraya Utara-Selatan namun turut memaparkan imej baik kepada negara di mata pelancong asing.

“Apatah lagi kita sekarang berada dalam Tahun Melawat Malaysia 2014 yang mana ramai pelancong dijangka melawat negara kita,” katanya ketika merasmikan Persimpangan Bertingkat Bukit Gambir di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wahid Omar; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Hasni Mohammad yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri serta Pengerusi PLUS Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Muhyiddin berkata, projek persimpangan bertingkat itu bermula pada Ogos 2010 dan siap sepenuhnya dalam tempoh 38 bulan dengan kos RM108 juta.

Katanya, kedudukan persimpangan yang strategik akan memberi banyak manfaat kepada pengguna PLUS serta penduduk setempat.

“Persimpangan ini juga membuktikan kejayaan hasil usaha sama dan sokongan padu sektor awam dan swasta dalam pembangunan infrastruktur negara.

“Ia juga bagaikan satu manifestasi kerajaan yang sememangnya sentiasa mengutamakan kemudahan rakyat,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin menggesa rakyat mengambil peluang kemudahan infrastruktur disediakan kerajaan.

Katanya, dengan adanya persimpangan itu masyarakat setempat boleh mempromosikan keunikan atau menganjurkan acara yang dapat menarik minat orang datang berkunjung ke kawasan berkenaan.

Sementara itu, Fadillah berkata, persimpangan baru itu bukan saja mengurangkan kesesakan lalu lintas di persimpangan Tangkak dan Pagoh, malah memendekkan jarak perjalanan ke bandar Muar terutama bagi pengguna dari arah utara.

“Sebelum pembukaan persimpangan ini, pengguna yang ingin ke Bukit Gambir dari Lebuhraya PLUS perlu menempuh perjalanan kira-kira 30 minit dengan jarak perjalanan 25 kilometer.

“Kini, dengan adanya persimpangan itu masa perjalanan hanya sekitar 10 minit dan membantu pengguna terutama pada musim perayaan atau cuti umum,” katanya.

SUMBER: METRO AHAD, 26 JANUARI 2014

Tiada ulasan: