PENGUNJUNG SETIA

27 Jun 2014

TAWAR KURSUS TEKNOLOGI PERUBATAN

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN


LEDANG - Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang berupaya melahirkan pelajar berkemahiran dalam bidang teknologi perubatan yang memenuhi keperluan industri pada masa kini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, KKTM adalah satu-satunya kolej yang menyediakan kursus tersebut yang akan membantu melonjakkan kemajuan negara.

“Saya harap Majlis Amanah Rakyat (Mara) dapat melakukan usaha melahirkan tenaga manusia bukan hanya dalam bidang vokasional tetapi juga dalam bidang lain yang amat diperlukan oleh pihak industri pada masa kini (teknologi perubatan).

“Kita bukan hanya buat analisa secara mendalam tetapi juga  bekerjasama dengan kementerian  Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan sektor  lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kolej berkenaan di Serom 4, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Miti yang juga Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri  dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

Beliau berkata, tujuaannya untuk  mengenalpasti tenaga apa yang diperlukan industri dalam negara supaya kokurikulum KKTM dapat diselaraskan disamping melahirkan pelajar berpengetahuan dalam bidang keusahawanan.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan memorandum persefahaman (MOU) antara KKTM dan Hospital Penawar yang disifatkan akan melonjakan keupayaan lulusan kolej terbabit dengan kemahiran semasa dalam bidang perubatan.

“Saya gembira apabila satu MOU antara KKTM, Mara dengan pihak swasta iaitu Hospital Penawar ditandatangani yang membolehkan pelajar menjalani latihan praktikal di hospital berkenaan.

“Ini satu usaha yang baik kerana dapat meningkatkan upaya mendalami ilmu pengetahuan yang mereka pelajari,” katanya.

Harapan beliau dengan MoU itu akan membantu kerajaan memperkasakan keupayaan Mara melahirkan pelajar berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi perubatan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 27 JUN 2014

KEKALKAN TRADISI GOTONG-ROYONG

HAMIM Samuri (tiga dari kiri) turut memasak makanan bersama penduduk sewaktu Program Kembara Insaniah 2014 di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang, baru-baru ini.

LEDANG 26 Jun - Budaya gotong-royong yang menjadi tradisi penduduk kampung sebelum ini semasa majlis perkahwinan, kematian dan kenduri perlu disemarakkan semula bagi mengukuhkan ikatan kemasyarakatan.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, semangat yang terdapat dalam budaya itu sememangnya menjadi jati diri masyarakat Melayu dan perlu dikekalkan sebagai satu elemen perpaduan.

"Perkara ini sudah sebati dalam jiwa orang Melayu. Golongan muda perlu diterapkan dengan semangat kerjasama dan gotong-royong agar sebati dalam jiwa mereka apabila berada dalam kelompok masyarakat.

"Galakan ini perlu dipupuk sejak usia muda bagi mendedahkan mereka dengan aktiviti kemasyarakatan seterusnya menjadi amalan dalam diri," katanya semasa merasmikan Program Kembara Insaniah 2014 Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) cawangan Muar di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Cawangan JPJ Muar, Azmil Zainal Adnan; Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd. Hamzah Basar dan Ketua Pemuda UMNO Ledang, Sahrihan Jani.

Beliau berkata, penduduk kampung masih memegang tradisi lama iaitu bergotong-royong dalam segenap hal dan pakatan tersebut membentuk satu komuniti yang kuat, sekali gus meringankan setiap kerja yang dilakukan.

Menurutnya, program kembara dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan itu dapat merapat hubungan antara warga JPJ dengan penduduk setempat menerusi gotong-royong serta pengisian aktiviti lain.

Sementara itu, Azmil berkata, program tersebut yang dikelolakan Biro Dakwah JPJ Muar bertujuan mendekatkan golongan muda dengan masjid dan surau yang disertai 200 peserta terdiri daripada warga JPJ Muar, Pemuda UMNO Ledang, ahli Muar Bikers dan Bukit Gambir Bikers serta penduduk kampung.

Beliau berkata, mereka membersihkan masjid, tiga buah surau dan tanah perkuburan Islam Bukit Kundur selain mendengar tazkirah bertajuk 'Peranan Masjid' disampaikan Pegawai Jasa Daerah Ledang, Mohd. Fadli Saat.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 JUN 2014


24 Jun 2014

KEMPEN 'KE ARAH LEDANG BEBAS ASAP ROKOK' DILANCAR

Oleh Badrul Kamal Zakaria; Hai Rozzaman Jalal


Ledang: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar semalam berkenan melancarkan kempen `Ke Arah Ledang Bebas Asap Rokok', antara usaha awal bagi mengurangkan risiko penyakit yang berpunca daripada tabiat tidak sihat itu.

Pelancaran disempurnakan sempena program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 yang turut singgah di daerah ini pada hari ketiga semalam. Kempen itu menjadikan Ledang daerah pertama di negeri ini yang melancarkan usaha berterusan membendung gejala negatif terbabit.

Pada majlis di FELDA Bukit Serampang itu, baginda turut menyaksikan demonstrasi memusnahkan rokok menggunakan mesin khas `Cruncher M1' yang biasanya digunakan kastam, selain menceritakan kesan negatif tabiat itu yang boleh menyebabkan barah mulut dan membahayakan kesihatan mereka yang tidak merokok.

Bantu golongan memerlukan

Pada majlis berasingan, dilangsungkan majlis kurniaan bantuan kepada golongan memerlukan yang disempurnakan oleh Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. Program dimeriahkan dengan persembahan muzik kesenian Jawa dinamakan kempling oleh Perkumpulan Kempling Parit Kassan, Bukit Gambir.

Pengerusi persatuan itu, Muslim Jasmin, berkata beliau bersama ahli kumpulannya berasa bertuah apabila dijemput membuat persembahan kempling pada program itu selepas melakukan persiapan dan latihan sejak dua bulan lalu.

Bagi Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin, kehadiran rombongan KMJ 2014 sememangnya dinantikan rakyat daerah ini, selain dapat membantu mempromosi Ledang kepada pengunjung luar selaras hasrat menjadikan kawasan ini sebagai daerah pelancongan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Seri Lanang, Muhd Nizam Hamzah, 17, pula berkata, dia bersama rakan gembira dapat menatap wajah Sultan Johor dan kerabat diraja dengan lebih dekat selain melihat sendiri kebolehan baginda memandu bas.

Perasaan sama turut dikongsi Aina Madia Mazlan, 18, dari SMK Tengku Temenggong Ahmad, yang mengakui tidak sabar menunggu ketibaan rombongan KMJ sejak minggu lalu.

Sementara itu, lebih 10,000 penduduk sekitar daerah Muar turut menghadiri Karnival KMJ 2014 di Dataran Tanjung Emas, sempena Hari Perbandaran Muar Ke-13 yang diserikan dengan pelbagai program menarik seperti pameran, pertandingan memanjat tembok, perlumbaan motosikal mini, gerai jualan dan pertandingan mengangkat kereta.

SUMBER: BH, 24 JUN 2014

KEMPLINGAN SEMPENA KMJ 2014



KUMPULAN muzik kemplingan membuat persembahan sempena Kembara Mahkota Johor 2014 di tapak Terminal Bas dan Teksi Bukit Gambir, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 23 Jun - Kemplingan iaitu muzik kesenian masyarakat Jawa yang hanya terdapat di daerah ini merupakan antara persembahan istimewa dalam program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 di sini hari ini.

Muzik tersebut dimainkan semasa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama-sama rombongan mencemar duli bertemu rakyat di tapak Terminal Bas dan Teksi Bukit Gambir, sebagai satu destinasi KMJ 2014 di sini.

Persembahan muzik itu dimainkan Perkumpulan Kempling Parit Kassan bersama-sama kumpulan gamelan semasa mengiringi majlis kurniaan bungkusan kepada golongan memerlukan yang disempurnakan Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Timbalan Pengerusi Perkumpulan Kemplingan Parit Kassan, Mohd. Janis Abu Bakar melahirkan rasa terharu dan bertuah kerana terlibat dalam sambutan yang dibuat dua bulan lalu.

"Walaupun membuat persembahan yang singkat, namun kami tetap teruja apabila dapat memperkenal kesenian masyarakat Jawa kepada orang ramai yang terdiri daripada berbilang bangsa pada KMJ 2014," katanya ketika ditemui.
Mohd. Janis berkata, kumpulannya antara yang masih aktif memelihara kesenian itu di daerah ini dan turut dianggotai golongan muda berharap muzik tradisional berkenaan terus kekal ditelan arus moden.

Sementara itu, Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin berkata, rombongan KMJ 2014 sememangnya amat dinantikan semua lapisan rakyat di sini dan melambangkan kasihnya baginda kepada penduduk Ledang.

Katanya, bertepatan dengan tema kembara iaitu Gaya Hidup Sihat, pentadbiran daerah dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Ledang melancarkan Kempen Ledang Bebas Asap Rokok di Felda Sri Jaya, Bukit Serampang dekat sini.

"Mengambil konsep pengangkutan yang digunakan baginda dalam kembara ini, kami turut menyediakan beberapa perkhidmatan bergerak disediakan agensi kerajaan merangkumi kesihatan, keselamatan dan perkhidmatan perhubungan yang membolehkan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan," katanya.

Ab. Han berkata, program KMJ 2014 itu sedikit-sebanyak dapat mempromosikan kawasan tersebut kepada pengunjung luar selaras dengan hasrat untuk merealisasikan daerah Ledang sebagai daerah pelancongan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 JUN 2014


14 Jun 2014

BINA PARIT KONKRIT ATASI BANJIR

Masturah Suradi


LEDANG - Masalah banjir di Kampung Sungai Jaya dekat sini akan diatasi dengan pembinaan parit konkrit yang kini dalam proses menunggu kelulusan.

Adun Gambir, M Asojan berkata, permohonan tersebut telah diajukan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) malah mereka juga telah melakukan kerja pembersihan di kawasan tersebut.

“Isu banjir ini telah berlaku sejak tujuh tahun lalu, malah sudah ada tindakan yang telah kita lakukan untuk atasinya. Majlis Daerah Tangkak juga sudah membina sebuah parit besar dengan lebar kira-kira tiga meter untuk mengelakkan air melimpah ke kawasan penempatan.

“Pembinaan parit di kawasan itu juga dilakukan secara berperingkat bermula di Taman Sri Jaya melalui Kampung Sri Jaya sehingga ke Sungai Sawah Ring yang mana panjang keseluruhannya satu hingga dua kilometer.

“Bagaimanapun kita masih menerima aduan berkenaan masalah banjir dan kita telah hantar permohonan untuk pembinaan parit baharu.

"Sekarang ini kita sedang tunggu kelulusan untuk pembinaan parit konkrit kerana kawasan tersebut merupakan luar daripada kawasan majlis daerah,” katanya ketika mengulas ruangan cetusan dari menara KL bertajuk YB, dengarlah keluhan saya.

Asojan berkata, orang ramai juga diminta merujuk kepada pihak pusat khidmat Dun Gambir jika mempunyai sebarang aduan atau perkara yang tidak berpuas hati.

Katanya, ini kerana terdapat pengadu yang tinggal di luar kawasan yang tidak mengetahui tentang perkembangan semasa yang berlaku di kawasan tersebut meskipun sudah ada tindakan yang diambil.

SUMBER: SINAR HARIAN, 14 JUN 2014

121 SEKOLAH AGAMA DAPAT BANGUNAN BAHARU

Ledang: Kerajaan negeri memperuntukkan RM280 juta bagi membina 121 bangunan baru sekolah agama di Johor.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Johor (JAJ), Suliman Dumang (gambar), berkata peruntukan itu membabitkan kos pembinaan dan kemudahan infrastruktur termasuk kantin dan peralatan seperti kerusi dan meja.

Katanya, bagi pembinaan sekolah agama setingkat, ia membabitkan kos RM1.9 juta sebuah, manakala untuk sebuah bangunan tiga tingkat sebanyak RM2.4 juta.

Pembinaan sekolah agama yang baharu termasuk 12 di Ledang bergantung kepada jumlah murid dan keperluan di sesebuah kawasan seperti yang menumpang di sekolah kebangsaan.

"Daripada jumlah itu, lapan sekolah mula digunakan, beberapa sekolah sudah siap antara 80 hingga 90 peratus, manakala ada yang sudah siap tetapi hanya menanti masa untuk kontraktor menyerahkannya kepada kerajaan negeri," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Sekolah Agama Kerajaan Johor dan Sekolah Menengah Agama Kali Ke-5 Peringkat Daerah Ledang di sini, semalam.

Kerajaan prihatin

Suliman yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Agama Cemerlang kepada bekas Guru Besar Sekolah Agama Bandar Tangkak, Esa Mohammad.

Suliman berkata, pembinaan sekolah agama baharu itu menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pendidikan agama membabitkan lebih 200,000 murid di 557 sekolah aliran itu.

SUMBER: BH, 14 JUN 2014

13 Jun 2014

35 MURID DIDEDAH ILMU SOLAT DALAM HUTAN

Oleh Hai Rozzaman Jalal


Ledang: Ahli Kelab Nadi Al-Ansor Sekolah Agama Bandar Tangkak di sini, mengambil kesempatan musim cuti sekolah dengan mengadakan ekspedisi mendaki Gunung Ledang, baru-baru ini.

Program julung kali dianjurkan itu disertai 35 murid tahun empat hingga tahun enam bersama sembilan orang guru yang bermula dari Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang dekat Sagil, di sini.

Ketua peserta, Saipul Bahri Ab Kadir berkata, ekspedisi itu memberi pengalaman baru kepada murid berkenaan.

Menurutnya, ia memberi peluang kepada peserta menilai keindahan alam semula jadi menerusi pemerhatian sepanjang pendakian tersebut.

"Ekspedisi ini turut memberi pendedahan ilmu kepada peserta untuk mempraktikkan kaedah solat ketika di hutan selain pengalaman berbentuk fizikal dan mental.

"Ekspedisi ini juga membentuk kerjasama dan hubungan setiakawan antara mereka menerusi aktiviti berkumpulan yang dijalankan agar dapat diterjemahkan apabila mereka berada dalam kelompok masyarakat di luar sekolah," katanya.

Saipul Bahri berkata, ekspedisi itu mengambil masa lebih lapan jam untuk mendaki mengikut trek yang disediakan dan turun semula ke tapak permulaan.

Menurutnya, pihaknya juga berhasrat untuk menjadikan ekspedisi itu sebagai acara tahunan bagi memberi peluang kepada murid lain dari sekolah itu merasai pengalaman terbabit.

Seorang peserta, Mohammad Najmudin Amir, 12, berkata, pada mulanya dia berasa takut untuk menyertai pendakian itu, tetapi atas dorongan rakannya menyebabkannya bersemangat turut serta mendaki Gunung Ledang.

Menurutnya, perasaan takutnya hilang dan timbul keseronokan apabila dapat menikmati keindahan alam semula jadi di sepanjang pendakian itu.

Rakannya pula, Nur Afifah Noor Mohamed, 12, berkata, dia berasa teruja melihat keindahan alam semula jadi secara lebih dekat kerana belum pernah menikmati suasana sebegitu sebelum ini.

Menurutnya, jika diberi peluang dia akan menyertai lagi ekspedisi seperti itu pada masa akan datang yang banyak menguji fizikal dan mental peserta.

SUMBER: METROPLUS HARIAN METRO, 13 JUN 2014

12 Jun 2014

YB, DENGARLAH KELUHAN SAYA!

ABD JALIL ALI

ABD JALIL ALI
                                                              ABD JALIL ALI


SAYA lebih suka nama asal, Kampung Sungai Ekor. Entah siapa punya idea, tahu-tahu apabila saya balik mengunjungi orang tua, tempat lahir saya itu telah ditukar menjadi Kampung Sungai Jaya.

Apa boleh buat saya sudah menjadi orang KL, dan tidak ada hak untuk mempertahankan nama asal itu.

Jelas sekali, pembangunan merubah kampung Melayu di Hulu Muar itu. Sejak ditukar di bawah Majlis Daerah Ledang kampung itu – khasnya pekan Bukit Gambir – bertukar wajah.

Dari dua deret kedai papan usang di kiri kanan jalan utama, pekan koboi itu kini bertukar menjadi bandar satelit dengan deretan bangunan batu yang menempatkan antaranya bank, pusat membeli-belah, pasar raya, restoran makanan segera, sekian banyak ‘kopitiam’ dan kafe siber, pasar dan lain-lain pejabat.

Tiga empat bulan dulu tol Bukit Gambir dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjadikan pekan yang dulunya sunyi kini hidup sepanjang 24 jam. Neon warna-warni mewarnai malam.

Kampung kelahiran saya terheret sama dalam arus pembangunan. Lebih separuh kawasannya tiada lagi ladang getah dan kelapa sawit, kini diganti hutan batu-bata. Sungai Ekor menjadi penempatan moden dengan hampir setiap rumah mempunyai kenderaan. Tidak ada lagi basikal tua, hilang sudah pelita minyak tanah.

Bagaimana pun ada dua benda yang tidak berubah – dan amat menyedihkan – mengenai kampung kesayangan saya itu:

Pertama, masjid masih lenggang setiap waktu, betul-betul macam zaman saya kanak-kanak dulu. Setengah abad lalu kampung saya dianggap sebagai tempat jin bertendang. Masjid papan buruk, berlubang sana-sini, tidak berkipas, tidak berlampu, atap bocor ketika hujan. Tidak ada paip, wuduk pun guna air perigi.

Penduduk tidak ramai, tidak sampai 20 buah rumah, munasabahlah jika sembahyang waktu hanya dua tiga jemaah. Malah kerap kali solat Jumaat tidak dapat dilakukan sebab kurang makmum.

Kini Kampung Sungai Jaya serba moden. Masjid tersergam indah, ada lampu elektrik, ada kipas angin, ada karpet, ada segala kemudahan.

Mengecewakan, walaupun penduduk ramai, setiap kali masuk waktu yang datang solat masih boleh dikira dengan jari, jarang sekali ada sepuluh orang. Malah, solat Subuh hanya dua tiga orang. Ada ketikanya azan tidak kedengaran, imam pun tidak datang.

Kawasan kolah tempat berwuduk, hitam berlumut dan licin. Silap-silap gaya boleh tergelincir dan terpelanting gigi palsu. Paip bocor sudah bertahun tidak dibaiki. Tandas jangan cerita, tidak relevan langsung dengan konsep kebersihan Islam.

Sebagai anak jati, dan pulang ke kampung berselang seli setiap hujung minggu, saya berharap betul ada yang prihatin, dan memperbaiki prasarana yang uzur itu. Biarlah jemaah selesa ketika menunaikan solat sunat Tarawih sepanjang Ramadan nanti.

Kedua, pantang hujan lebat, kampung akan banjir. Halaman rumah dan kebun akan ditenggelami air berhari-hari. Ubi, keladi dan tanaman lain baru hendak hidup, mati dibaham air. Hatta, anak ayam yang baru menetas pun dihanyutkan air.

Zaman jin bertendang dulu-dulu saya paling suka apabila kampung banjir. Tebang batang pisang buat rakit, dan ramai-ramai berbogel bulat bermain air hingga bibir biru dan kecut.

Tetapi jin sudah tiada, kini era ICT, serba canggih, serba moden, sepatutnya tidak banjir lagi. Masalah banjir sebenarnya boleh diatasi, sekiranya parit dan saliran dibersihkan. Apa yang terjadi ialah parit besar seliaan pihak berkuasa tempatan penuh sampah saraf dan rumpai.

Setiap kali hujan lebat air tidak mengalir ke sungai, dan melimpah menjadi banjir. Parit yang menakung air tentu sahaja boleh membiakkan nyamuk. Malah, silap-silap gaya buaya tembaga dan naga Tasik Chini boleh berendam di situ.

Banyak aduan telah dibuat ke pejabat wakil rakyat, jawapan yang diberikan sama: “Peruntukan sudah ada!” Sudah dua kali pilihan raya jawapan masih sama, tetapi tindakan tiada. Kampung Sungai Jaya terus banjir.

Penduduk berharap Adun Gambir, M. Asojan sudi datang meninjau parit yang tidak pernah diselia dan penyebab banjir itu. Pengundi kecewa. Takkanlah parit tersumbat pun hendak mengadu pada Timbalan Perdana Menteri!

SUMBER: SINAR HARIAN, 12 JUN 2014

02 Jun 2014

AMBIL TINDAKAN TERHADAP BLOG HINA SULTAN DAN ASKAR MELAYU

LEDANG 1 Jun - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Johor menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesan pengendali dua laman blog yang menghina Almarhum Sultan Perak dan Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD).

Ketua Wira Perkasa negeri, Datuk Md. Ismail Hamdan berkata, dua blog tersebut jelas merendah-rendahkan martabat sultan yang mempunyai hierarki tinggi dalam masyarakat dan perbuatan itu tidak boleh dimaafkan.

"Kita menggesa KDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan pengendali dua laman blog tersebut, termasuk mereka yang memberikan komen-komen biadab di laman sosial berkenaan.

"Sebagai negara yang bermaruah dan berdaulat, kita tidak mahu perkara ini dibiarkan. Heret mereka ke muka pengadilan dan kita tidak boleh lagi berlembut dengan petualang negara seperti ini yang menggugat Perlembagaan negara," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini hari ini.

Beliau yang diiringi kira-kira 30 ahli Perkasa membuat tiga laporan itu pukul 11 pagi ini yang meminta supaya siasatan dibuat terhadap pengendali http://siemensmelayumaju.blogspot.com dan http://cenangau.blogspot.com.

Md. Ismail berkata, laman sosial itu menghina Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah dengan mendakwa kemangkatan baginda hanya membazirkan wang rakyat.

Sementara itu, menerusi entri http://cenangau.blogspot.com/2014/15/dyana-sofya-dasar-bubar-askar-melayu-html pula, beliau berkata, terdapat unsur hasutan meminta supaya RAMD dibubarkan.

"Blog ini menyiarkan kenyataan calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd. Daud yang mahu RAMD dibubarkan.

"Dia tidak sepatutnya menjadi alat pihak tertentu. Kita berharap Dyana Sofya sedar, punya tanggungjawab dan kembali ke pangkal jalan. Dia perlu tahu dirinya dipergunakan untuk menghancurkan Melayu dan Islam," katanya.

Dalam pada itu, Perkasa Johor menyokong penuh titah Sultan Johor supaya menubuhkan pasukan khas memfailkan rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tentang Pulau Batu Putih yang sebelum ini memihak kepada Singapura.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 JUN 2014