PENGUNJUNG SETIA

24 November 2018

37 KANAK-KANAK SERTAI PROGRAM KHATAN KOMUNITI TANGKAK

Seramai 37 orang kanak-kanak dimandikan dengan semburan air oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak sempena majlis perasmian Program Khatan Beramai-ramai Komuniti Tangkak anjuran Kelab Sayang Ledang dan Komuniti 1Malaysia Lerek Anjung Makmur di Dewan Anjung Batu, Tangkak.

TANGKAK (24 Nov): Menjelang cuti persekolahan yang panjang, ramai kanak-kanak mengambil peluang untuk berkhatan sama ada secara persendirian mahupun berkelompok.

Program Khatan Beramai-ramai Komuniti Tangkak yang diadakan di Dewan Anjung Batu, di sini menyaksikan 37 kanak-kanak termasuk 12 orang penghuni asrama Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Ledang (PKAYIL) menyertainya.

Pengerusi program, Datuk Abdull Rahim Talib berkata, program itu dianjurkan bagi membantu ibu bapa di sekitar Tangkak yang ingin mengkhatankan anak mereka secara berkelompok dengan bayaran RM100 setiap seorang.

Katanya, kanak-kanak yang terlibat berumur antara tujuh hingga 12 tahun dan sebelum acara berkhatan dimulakan mereka dimandikan dengan semburan air oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Tangkak.

“Kanak-kanak yang menyertai program ini rasa seronok apabila dimandikan dengan semburan air pihak bomba sekaligus menghilangkan rasa takut dan gementar.

“Terdahulu diadakan majlis tahlil di Surau Anjung Batu dan kemudian peserta diarak diiring selawat menuju ke Dewan Anjung Batu untuk acara berkhatan,” katanya.

Abdull Rahim berkata, program itu anjuran bersama Kelab Sayang Ledang dan Komuniti 1Malaysia Lerek Anjung Makmur yang akan dijadikan acara tahunan. -INFOLEDANG

Tiada ulasan: