ACARA mewarna khusus untuk kanak-kanak dikelolakan Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Bukit Gambir.
Oleh ZULHISHAM ISAHAK
TANGKAK 22 Nov. - Suasana di Kompleks Pasar Tani Kekal Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Bukit Gambir di sini sangat berbeza pada awal bulan ini kerana menjadi tumpuan dengan kunjungan pelbagai peringkat umur.
Biasanya kompleks FAMA itu menjadi tempat suri rumah mendapatkan barangan basah tetapi keadaan pada hari itu berlainan daripada biasa.
Rupa-rupanya itu penangan program Warung Buku yang diadakan pertama kali pada 3 November lalu.
Orang ramai tertarik dengan Warung Buku yang menyediakan pelbagai judul buku-buku lama.
Program Warung Buku di Kompleks FAMA itu diadakan pada Sabtu setiap awal bulan minggu pertama mulai pukul 8 pagi hingga 12.30 tengah hari yang dianjurkan Karyawan Ledang dan Komuniti Buku Selatan dengan kerjasama pengurusan Kompleks FAMA tersebut.
Warung Buku berkonsepkan pamer dan jual pelbagai bahan bacaan lama seperti buku, majalah, novel dan komik lama yang tiada lagi di pasaran dengan harga berpatutan.
Pengerusi Karyawan Ledang, Mohd. Isnin Tawaf berkata, program itu bertujuan memberi peluang orang ramai khususnya pencinta buku di daerah ini dan kawasan berhampiran mendapatkan buku-buku lama sebagai koleksi mereka.
“Ini kali pertama kita perkenalkan di daerah ini, mungkin ramai peminat buku-buku lama yang ingin mencari bahan bacaan kegemaran mereka untuk dijadikan koleksi atau ada yang ingin menjual bahan bacaan mereka yang tersimpan lama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
JUALAN pelbagai bahan bacaan lama diadakan setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan.
Sempena program itu, Mohd. Isnin berkata, pihaknya menyelitkan acara mengenang penyair kelahiran Bukit Gambir iaitu Allahyarham Mohd Salim @ Pungot Saman yang menggunakan nama pena SM Salim dalam menghasilkan sajak sejak tahun 1950-an lagi.
Katanya, walaupun beliau sudah tiada, bagi menghargai sumbangan penulis itu yang menghasilkan beratus buah sajak dan tersiar dalam pelbagai penerbitan pihaknya menyediakan sudut kecil mempamerkan buku dan hasil karya beliau sempena Warung Buku itu.
PEMINAT buku-buku lama yang mencari bahan bacaan kegemaran mereka boleh didapati di Warung Buku di Komplek FAMA Bukit Gambir, Johor.
“Selain menjual bahan bacaan lama dan baharu, diadakan juga acara mewarna melibatkan kanak-kanak di sekitar Bukit Gambir yang dikelolakan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Bukit Gambir.
“Kami bercadang mengadakan program sampingan lain seperti bacaan puisi, sesi ramah mesra bersama-sama penulis atau pelukis dan mengenang kembali karyawan kelahiran daerah ini," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/warung-buku-pupuk-minat-membaca-1.792232#ixzz5XvXjKXRO © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan