Anggota Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir menggunakan pengusung untuk membawa turun mangsa dari Kolam Puteri Gunung Ledang pada ketinggian 274 meter. (GAMBAR IHSAN BBP BUKIT GAMBIR)
TANGKAK (26 Nov): Seorang pengunjung Air Terjun Gunung
Ledang dekat Sagil cedera di bahagian peha kiri selepas tergelincir dan
terjatuh berhampiran Kolam Puteri pusat pelancongan itu petang semalam.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir,
Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira
jam 1.06 petang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Katanya, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bersama
lapan anggota bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat dan tiba di
tempat kejadian jam 1.29 petang.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati seorang lelaki
berusia 32 tahun yang juga pengunjung pusat pelancongan itu mengalami
kecederaan di bahagian peha kiri ketika mendaki kolam tertinggi di situ.
“Mangsa dikatakan tergelincir dan terjatuh berhampiran
Kolam Puteri yang dianggarkan pada ketinggian 274 meter,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Anggota
Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir membawa
turun mangsa dari Kolam Puteri Gunung Ledang ke kaki Gunung Ledang Resort, Tangkak.
(GAMBAR IHSAN BBP BUKIT GAMBIR)
Mohd Khairul Sufian berkata, pihaknya membuat rawatan
awal terhadap mangsa dan membawa turun ke kaki Gunung Ledang Resort menggunakan
pengusung dan dibawa ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut. -INFOLEDANG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan