PENGUNJUNG SETIA

04 November 2018

WARUNG BUKU MEDAN UNTUK JUAL BELI BAHAN BACAAN LAMA DAN BARU

Warung Buku diadakan setiap hari Sabtu minggu pertama awal bulan

Pengerusi Karyawan Ledang, Mohd Isnin Tawaf (kiri) bergambar bersama keluarga Allahyarham SM Salim di sudut mengenang penyair itu sempena program Warung Buku di Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, Tangkak.

Oleh KHAIRUN HANEFFA

TANGKAK (3 Nov): Bukan mudah untuk membina masyarakat yang mencintai buku apatah lagi zaman sekarang yang seakan-akan dikuasai teknologi digital apabila pembacaan lebih mudah menggunakan gajet menerusi media sosial.

Untuk mengembalikan khalayak yang meminati buku, Karyawan Ledang dan Komuniti Buku Selatan dengan kerjasama pengurusan Kompleks Pasar Tani Kekal FAMA Bukit Gambir menganjurkan program Warung Buku.

Pengerusi Karyawan Ledang, Mohd Isnin Tawaf, berkata program yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk memberi peluang orang ramai khususnya pencinta buku yang tinggal di daerah Tangkak dan kawasan berhampiran mendapatkan buku-buku lama sebagai koleksi mereka.

Katanya, Warung Buku berkonsepkan pamer dan jual pelbagai bahan bacaan lama seperti buku, majalah, novel dan komik lama yang tiada lagi di pasaran dengan harga yang berpatutan.

“Ini kali pertama kita perkenalkan di daerah ini, mungkin ramai peminat buku-buku lama yang ingin mencari bahan bacaan kegemaran mereka untuk dijadikan koleksi atau ada yang ingin menjual bahan bacaan mereka yang tersimpan lama.

“Program Warung Buku ini diadakan pada hari Sabtu setiap awal bulan minggu pertama di sini mulai jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari,” katanya ketika ditemui pada program itu di Bukit Gambir, di sini.
Orang ramai memilih bahan bacaan yang dijual sempena program Warung Buku di Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, Tangkak.

Mohd Isnin berkata, sempena Warung Buku itu pihaknya turut menyelitkan acara mengenang penyair kelahiran Bukit Gambir iaitu Allahyarham Mohd Salim @ Pungot Saman yang menggunakan nama pena SM Salim dalam menghasilkan sajak sejak tahun 1950-an lagi.

Katanya, walaupun beliau sudah tiada, namun bagi menghargai sumbangan penulis itu yang telah menghasilkan beratus buah sajak dan tersiar di pelbagai penerbitan pihaknya menyediakan sudut kecil mempamerkan buku dan hasil karya beliau sempena Warung Buku itu.

“Selain menjual bahan bacaan lama dan baru, diadakan juga acara mewarna melibatkan kanak-kanak di sekitar Bukit Gambir yang dikelolakan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Bukit Gambir.

“Pada program akan datang, kami bercadang untuk mengadakan program sampingan lain seperti bacaan puisi, sesi ramah mesra bersama penulis atau pelukis dan mengenang kembali karyawan kelahiran daerah ini,” katanya.

Mohd Isnin mengalu-alukan individu yang mempunyai bahan bacaan lama yang ingin menjualnya boleh datang pada hari berlangsungnya program Warung Buku tersebut kerana ada kelompok peminat buku-buku lama yang mahu membelinya. -INFOLEDANG

  Pelukis Ali Mabuha (tengah) turut hadir pada program Warung Buku di Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, Tangkak.

Tiada ulasan: