PENGUNJUNG SETIA

12 Ogos 2012

16 PASAR TANI KHAS SEBELUM AIDILFITRI


Johor Bahru: Kira-kira 27,900 ayam, daging dari 171 lembu dan 12,650 kelapa akan dipasarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di 16 pasar tani di seluruh Johor menerusi Pasar Tani Khas Menjelang Aidilfitri, pada Jumaat dan Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang (gambar), berkata turut dipasarkan ialah 4.6 tan kacang panjang, 2.45 tan cili merah dan 4.3 tan kubis.

Katanya, pasar tani khas itu akan disertai 392 peniaga terdiri daripada petani, penternak, nelayan dan usahawan industri asas tani.

"Daripada 16 pasar tani, hanya lima akan mengadakan jualan khas pada Jumaat dan Sabtu iaitu Pasar Tani Mega Larkin, di sini, Pasar Tani Pontian, Pasar Tani Jalan Omar di Batu Pahat, Pasar Tani Jalan Sungai Kemang di Kota Tinggi dan Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir di Ledang," katanya.

Bercakap pada pelancaran pasar tani khas itu, di sini, semalam, Maulizan berkata dua pasar tani lagi iaitu Pasar Tani Bandar Tenggara di Kota Tinggi dan Pasar Tani di Jalan Kampung Sri Lalang, Mersing akan mengadakan jualan khas pada Jumaat.

Beliau berkata, pasar tani yang mengadakan jualan pada Sabtu pula ialah Pasar Tani di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang; Pasar Tani Bandar Baru Uda; Pasar Tani Indahpura di Kulaijaya; dan Pasar Tani Jalan Datuk Onn di Mersing;

Pasar Tani Bukit Pasir di Muar; Pasar Tani Segamat; Pasar Tani Labis; Pasar Tani Kampung Melayu di Simpang Renggam; dan Pasar Tani Taman Sri Lambak di Kluang.

Maulizan berkata, semua pasar tani itu dijangka memulakan jualan mulai jam 6.30 pagi hingga 12.30 tengah hari kecuali Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir yang akan melanjutkan masa operasi sehingga jam 5 petang.

SUMBER: BH AHAD, 12 OGOS 2012

Tiada ulasan: