PENGUNJUNG SETIA

08 Ogos 2012

USAHAWAN MERCUN TAK JADI


LEDANG: Hasrat dua beradik yang juga anak yatim mengumpul wang sempena Aidilfitri tidak lama lagi dengan menjual mercun musnah apabila rumah mereka di Kampung Serom 6, Sungai Mati, dekat sini, diserbu polis Ahad lalu.

Dua beradik itu yang masing-masing berusia 17 dan 19 tahun serta tidak bersekolah, mengumpul modal RM6,000 untuk membeli pelbagai jenis mercun sebelum menjadikan rumah mereka sebagai stor penyimpanan sebelum menjualnya.

Dalam serbuan pada jam 5.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang diketuai Inspektor Mohd Nor Isa menyerbu rumah remaja terbabit dan menemui lebih 200 kotak pelbagai jenis mercun serta bunga api dianggarkan bernilai RM10,000.

Turut dirampas beberapa buku resit, kalkulator dan satu bekas plastik berisi wang syiling serta kertas berjumlah RM219.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, ia adalah rampasan mercun pertama bagi IPD Ledang sepanjang tahun ini.

Katanya, siasatan mendapati dua remaja itu adik-beradik dan tinggal di rumah berkenaan sendirian kerana ibu bapa mereka sudah meninggal dunia.

"Siasatan awal mendapati dua beradik terbabit membeli mercun dan bunga api itu daripada pengedar dengan harga RM6,000.

"Suspek mahu menjual mercun dan bunga api berkenaan untuk pasaran sekitar kampung dan kawasan Sungai Mati.

"Kedua-dua suspek direman sehingga hari ini (semalam) dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya pada sidang media di IPD Ledang, di Tangkak, semalam.

SUMBER: HARIAN METRO, 08 OGOS 2012

Tiada ulasan: