PENGUNJUNG SETIA

13 Ogos 2012

CURAHAN REZEKI

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus; Mahaizura Ab Malik


LEDANG: "Seumur hidup, saya tidak pernah mendapat bantuan sebanyak ini. Alhamdulillah, bukan saja makanan, saya juga mendapat pelbagai jenis barangan keperluan serta telekung baru," kata Saywiyah Wahab, 73, seorang daripada 40 ibu tunggal menerima sumbangan program Titipan Kasih Harian Harian Metro 2012 di Masjid Jamek At Taqwa, Tanjong Gading Barat, Kesang, di sini, kelmarin.

Menurutnya, sebaik ketua kampung memaklumkan mereka menerima bantuan itu, semua penerima gembira dan teruja.

Ini kerana, katanya, sepanjang Ramadan rezeki ibu tunggal dan keluarga kurang berkemampuan sepertinya mencurah-curah.

"Saya sekeluarga bersyukur dengan rezeki tidak disangka ini.

"Sumbangan makanan dan barangan lain yang diterima sedikit sebanyak meringankan beban saya sekeluarga.

"Pastinya, Aidilfitri kami lebih meriah dan bermakna," katanya.

Endah Lip, 72, berkata, sumbangan diterima itu amat bermakna apatah lagi hanya tinggal seminggu sebelum menyambut Aidilfitri.

Katanya, sambutan Aidilfitri disambut penuh kesederhanaan setiap tahun kerana kewangan keluarganya tidak mengizinkan untuk berbelanja lebih.

"Saya menyambut hari raya dengan dua anak dan sumbangan ini menceriakan sambutan Aidilfitri kami sekeluarga," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Mohammad Azlan Abdullah dan Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Datuk Mustapa Omar di masjid itu, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Pengarang Kumpulan HM, Abdul Ghaffar Ismail dan Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat.

Program Titipan Kasih Harian Metro mendapat tajaan Affin Islamic Bank, Shell, Sani Ekspres, Yusof Taiyob, Takaful Ikhlas, Tesco, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Petronas Chemical serta Naza Quest Sdn Bhd yang menyediakan tiga kenderaan rasmi, Chevrolet Colorado dan dua Chevrolet Captiva.

Turut menaja, ZZ Marketing, Kumpulan dR Rozmey, Islamic Aid Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Econsave, Tripplenine Goldworld Gallery Sdn Bhd, Syarikat Zulkifli Bamadhaj dan Syarikat Nahar Power Sdn Bhd.

SUMBER: HARIAN METRO, 13 OGOS 2012

Tiada ulasan: