PENGUNJUNG SETIA

13 Ogos 2012

MEMBAWA KECERIAAN

Oleh Mahaizura Abd Malek


LEDANG: Program Titipan Kasih Harian Metro yang diadakan di Masjid Jamek At-Taqwa, Batu 5, Mukim Kesang di sini, kelmarin, bukan saja membantu 160 peserta, malah menarik kehadiran 1,000 penduduk sekitar kawasan berkenaan untuk bergotong-royong menjayakan program itu.

Bermula dengan membawa anak yatim membeli pakaian sebuah pasar raya, program diteruskan dengan acara Teman Sahur pada tengah malam Jumaat.

Rombongan Titipan Kasih Harian Metro melawat 10 rumah orang kelainan upaya (OKU) serta warga emas dengan membawa makanan untuk mereka bersahur serta keperluan asas seperti beras dan minyak masak serta duit raya.

Bermula jam 10 pagi kelmarin, program diteruskan dengan aktiviti pertandingan melukis membabitkan 100 kanak-kanak tadika sekitar kawasan itu dan pada masa sama, penduduk kampung bergotong-royong bersama kakitangan Harian Metro memasak juadah istimewa seperti nasi beriani, termasuk ayam masak merah serta acar.

Pada jam 2 petang, program diteruskan dengan rombongan Titipan Kasih Harian Metro mengunjungi 10 rumah OKU serta warga emas untuk menyampaikan bantuan makanan serta duit raya.

Pada masa sama, sukarelawan dan penduduk menyediakan bubur lambuk untuk dinikmati 500 tetamu.

Selepas Asar, program diteruskan dengan penyampaian bantuan makanan asas seperti beras, minyak masak serta hamper dan duit raya kepada 40 ibu tunggal dan 20 keluarga miskin manakala 100 anak yatim menerima duit raya, beg sekolah, hamper serta baju raya yang dipilih mereka sehari sebelum itu.

Hadir pada program itu, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Mohammad Azlan Abdullah; Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Datuk Mustapa Omar; Timbalan Pengarang Kumpulan HM, Abdul Ghaffar Ismail, Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat serta Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Ahmad Salim Bachok.

SUMBER: HARIAN METRO, 13 OGOS 2012

Tiada ulasan: